Bekalan asas di Pulau Pinang cukup sepanjang PKP

Pegawai KPDHEP Pulau Pinang sentiasa membuat pemeriksaan bagi memastikan bekalan asas mencukupi selain tiada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan keperluan.
Pegawai KPDHEP Pulau Pinang sentiasa membuat pemeriksaan bagi memastikan bekalan asas mencukupi selain tiada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan keperluan.
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang memberi jaminan bekalan barangan asas bagi isi rumah mencukupi untuk menampung pengguna di negeri ini sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan bekalan barangan keperluan dalam memastikan bekalan mencukupi bagi keperluan pengguna di Pulau Pinang sehingga 7 Jun ini.

Menurutnya, pemeriksaan juga dijalankan di setiap peringkat iaitu pengilang, pengeluar, pemborong dan peruncit bagi memastikan bekalan barangan isi rumah mencukupi.

"Berdasarkan kepada pemantauan harian barangan ke atas pasaraya serta peruncit daerah terpilih (Dedicated District Retailer) pada 22 Mei 2021, kita mendapati bekalan seperti 258,581 kilogram (kg) gula, minyak masak (401,615kg), tepung (60,202kg) dan beras (1,112,330kg) berada dalam simpanan peniaga.

"Selain itu, pemantauan dan pemeriksaan telah dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan tiada mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan memanipulasikan bekalan serta cuba menaikkan harga bagi mendapatkan keuntungan yang tidak munasabah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya mendapati ada pihak yang menaikkan harga barangan atau perkhidmatan untuk mendapatkan keuntungan yang tidak munasabah.

"Tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 atau Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi yang didapati cuba menyorokkan barang kawalan.

"Sebanyak 24,846 pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis perniagaan di Pulau Pinang dengan 357 kes melibatkan nilai kompaun RM71,300. Sementara itu, jumlah sitaan bernilai RM 394,471 telah dibuat sejak 1 Januari lalu sehingga semalam (Isnin)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ridzuan berkata, sebanyak 10,834 pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) telah dijalankan bermula 8 Mei lalu dan menghasilkan tiga kes.

"Saya memohon kerjasama kepada pengguna Pulau Pinang untuk mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dalam membantu memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

"Perancangan itu penting terutamanya ketika membuat pembelian barangan keperluan asas di pasaraya kerana bekalan asas adalah mencukupi," katanya.