Stor simpan barang runcit terbakar

Bomba berjaya padamkan keseluruhan api yang marak dalam masa 30 minit.
Bomba berjaya padamkan keseluruhan api yang marak dalam masa 30 minit.
A
A
A

KOTA BHARU – Sebuah stor simpanan barangan runcit terbakar dalam satu kejadian di Jalan Sultan Ibrahim, Kampung Kubur Kuda, pada pagi Selasa.

Kejadian disedari pemilik kedai, Ang Koh Hwa, 64, pada jam 7.45 pagi selepas jirannya memaklumkan mengenai asap yang keluar dari arah belakang rumah kedai berkenaan.

Menurutnya, dia yang ketika itu sedang bersiap untuk keluar rumah dan membuka kedai runcit itu terus ke stor berkenaan.

Ang Koh Hwa (kanan) menunjukkan kawasan belakang stornya yang terlibat dalam kebakaran tersebut.
Ang Koh Hwa (kanan) menunjukkan kawasan belakang stornya yang terlibat dalam kebakaran tersebut.

“Saya buka stor melalui pintu depan dan nampak api sedang marak membakar kotak yang ada tisu, makanan dan pelbagai barangan runcit lain di bahagian belakang kedai.

“Jiran saya menghubungi pihak bomba sementara saya cuba menarik barangan di depan keluar dari stor berkenaan kerana bimbang kebakaran makin besar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Selasa.

Beliau yang mengusahakan kedai berkenaan sejak lebih 30 tahun lalu berdepan kerugian hampir RM50,000 dalam kebakaran tersebut namun tetap membuka kedai jualan runcitnya seperti biasa kerana perlu memenuhi keperluan pembeli dari kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu Timbalan Penguasa Bomba Zukeri Shafie ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu, pihaknya sampai di lokasi pada jam 8 pagi dan api berjaya dipadamkan 30 minit kemudian.

Artikel Berkaitan:

Dari siasatan awal pihaknya, kebakaran tersebut melibatkan 45 peratus daripada keluasan stor berkenaan dan tidak melibatkan kedai yang berada bersebelahan.