Ramos kecewa kena 'buang'

Sergio Ramos
Sergio Ramos
A
A
A

TONGGAK pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos mengakui kecewa selepas tidak disenaraikan dalam skuad Sepanyol bagi menghadapi saingan Euro 2020 yang akan bermula pada 11 Jun ini.

Menurut Ramos, keputusan yang dilakukan pengenali Sepanyol, Luis Enrique itu sebagai sesuatu yang sukar untuk diterima apatah lagi dia belum pernah terlepas aksi bersama skuad kebangsaan sejak tahun 2005.

"Saya tidak pernah mengalami musim yang aneh serta keadaan yang sukar seperti sekarang sepanjang karier saya untuk menghadapi kejohanan Euro. Saya berusaha keras dan berlatih setiap hari, baik secara fizikal untuk mencapai keadaan 100 peratus.

"Namun, apa yang diusahakan tidak selalunya mengikut apa yang kita harapkan. Sangat kecewa tidak dapat membantu pasukan ketika ini dan terkeluar daripada pasukan Sepanyol. Namun, untuk kali ini apa yang terbaik adalah berehat agar mampu kembali cergas sepenuhnya untuk musim depan.

"Saya mendoakan yang terbaik untuk seluruh rakan-rakan sepasukan dan saya berdoa semoga mereka dapat tampil cemerlang di kejohanan Euro. Saya sebagai penyokong akan menyokong dari rumah dan berharap mereka mendapat kejayaan yang diharapkan," kata Ramos yang sudah membuat 180 penampilan dan mencetak 23 gol bersama Sepanyol.

Pada Isnin, Enrique telah mengumumkan senarai 24 pemain untuk skuad La Roja menghadapi saingan Euro Jun depan dengan kejutan tidak menyenaraikan Ramos dalam skuad kebangsaan.

Ia sekali gus mengundang persoalan peminat bola sepak di negara itu yang menyifatkan Ramos merupakan pemain senior dalam pasukan selain khidmat dan pengalamannya cukup berguna untuk membimbing para pemain muda di kejohanan besar seperti itu.

Namun, keputusan yang dibuat Erique mengugurkan Ramos itu juga kemungkinan tepat selepas pemain berusia 35 tahun itu jarang berada dalam kesebelasan utama Real musim ini selepas dipalit kecederaan lutut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Enrique mengakui keputusan yang dibuatnya ini tidak mudah dengan Ramos adalah pemain yang luar biasa selain kapten buat pasukan itu.

Menurut Enrique, dia memberitahu Ramos melalui telefon semalam berkenaan pengguguran nama pemain 35 tahun itu daripada skuad 24 pemainnya.

"Saya mahu menyampaikan mesej kepada Sergio Ramos yang tidak berada dalam senarai kerana dia tidak beraksi atau berlatih sejak Januari. Ia keputusan yang sukar tetapi itu adalah yang terbaik untuk pasukan," katanya.