Tubuh pasukan siasat kemalangan LRT

Sejumlah penumpang mengalami kecederaan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen Kampung Baru di bawa keluar bagi dibawa ke hospital pada malam Isnin.
 - Foto Bernama
Sejumlah penumpang mengalami kecederaan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen Kampung Baru di bawa keluar bagi dibawa ke hospital pada malam Isnin.
 - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Satu pasukan perlu ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terperinci mengenai punca sebenar kemalangan melibatkan dua buah tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya sehingga mengakibatkan beberapa penumpang cedera pada Isnin.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, siasatan itu perlu dilakukan secara mendalam, telus dan bebas tanpa pengaruh daripada mana-mana pihak bagi memastikan tiada perkara yang diragui disembunyikan.

"Saya mengalu-alukan pengumuman oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong yang menubuhkan satu pasukan penyiasat tentang punca sebenar kemalangan tersebut.

"Ini penting untuk menerangkan kepada orang ramai tentang punca sebenar kemalangan ini dan diharapkan laporannya dapat disiarkan secara umum kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penting untuk mengetahui samada ia merupakan insiden berpunca daripada masalah teknikal, komunikasi atau kecuaian manusia.

"Sekiranya ia berlaku kerana kecuaian manusia, pelaku harus dipertanggungjawabkan dan dikenakan tindakan supaya kejadian sebegini tidak berulang di masa hadapan kerana ia melibatkan nyawa dan keselamatan manusia.

"Ini merupakan kemalangan yang sememangnya tidak dijangka. Sejak 23 tahun penubuhannya, insiden melibatkan LRT hanyalah sesuatu yang minoriti seperti LRT berhenti kerana bekalan elektrik, masalah brek dan pergelinciran yang tidak membabitkan manusia.

"Kejadian ini sememangnya menimbulkan ketakutan kepada orang awam terutama mereka yang menjadikan LRT sebagai pengangkutan utama untuk bergerak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Lam Thye memuji pasukan penyelamat dan unit keselamatan yang memainkan peranan menyelamatkan mangsa dan membawa keluar penumpang yang cedera serta menghantar mereka ke hospital berdekatan.

"Walaupun dalam keadaan prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat serta kes Covid-19 yang membimbangkan, pasukan keselamatan masih menunjukkan kecekapan mereka menghadapi kes luar jangka yang berlaku secara tiba-tiba. Keadaan ini menimbulkan sedikit kelegaan terhadap mangsa-mangsa terlibat," kata beliau.

ARTIKEL BERKAITAN Dua tren LRT bertembung, penumpang cedera

Insiden LRT: 47 penumpang parah

Insiden LRT: PM arah siasatan segera