Bicara 1MDB hari ini dilapangkan, Najib belum pulih

Muhammad Shafee yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pada Selasa. - Foto Bernama
Muhammad Shafee yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dijadualkan bersambung pada Selasa telah dilapangkan hingga Khamis kerana bekas Perdana Menteri itu masih belum pulih daripada pembedahan mata yang dijalaninya minggu lalu.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara itu kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah apabila prosiding bermula hari ini.

“Doktor (Najib) telah menasihatkannya untuk berehat. Bengkak di sekeliling mata telah berkurangan tetapi kemerahan masih ada.

“Najib telah berjumpa doktor dan doktor menasihatkannya untuk berehat sewajarnya. Beliau akan berjumpa dengan doktornya semula esok,” katanya.

Hakim Sequerah kemudian melapangkan perbicaraan sehingga Khamis.

Hakim juga mengarahkan pasukan pendakwaan dan pembelaan untuk memastikan hanya sebilangan kecil sahaja memasuki mahkamah semasa prosiding itu pada Khamis, sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk membendung penularan Covid19.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. - Bernama

Artikel Berkaitan: