Cheng Hoe tak puas hati kekalahan 1-4 kepada Kuwait

Antara kesebelasan utama Harimau Malaya yang diturunkan Cheng Hoe ketika berdepan Kuwait dalam aksi pemanas badan di Stadium 7he Sevens, Dubai pada Ahad.
Antara kesebelasan utama Harimau Malaya yang diturunkan Cheng Hoe ketika berdepan Kuwait dalam aksi pemanas badan di Stadium 7he Sevens, Dubai pada Ahad.
A
A
A

SELEPAS tewas 1-4 kepada Kuwait dalam aksi pemanas badan di Stadium 7he Sevens, Dubai pada Ahad, skuad Harimau Malaya dituntut tampil lebih garang menjelang pertemuan menentang Bahrain di Manama, pada Jumaat ini.

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, keputusan aksi di Stadium 7he Sevens itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan barisan kejurulatihan menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada awal bulan depan.

Bagi mempersiapkan skuad terbaik, Cheng Hoe berharap barisan pemainnya dapat mengambil iktibar daripada perlawanan itu untuk mencapai semula keserasian selain perlu tampil lebih meyakinkan pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 berdepan Bahrain nanti.

“Secara keseluruhannya, kami barisan jurulatih masih tidak berpuas hati dengan cara permainan pasukan yang masih belum capai satu tahap terbaik. Kami tahu keputusan itu boleh jejaskan moral pasukan kerana saya rasa pemain juga rasa kecewa juga dengan keputusan tersebut.

“Tetapi apa yang penting adalah perlawanan seterusnya iaitu berdepan Bahrain. Kami akan perbaiki segala kelemahan kerana ia adalah perlawanan ujian yang terakhir (sebelum aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023).

“Yang penting kita nak tengok pemain bangkit daripada kekalahan itu dan bermain sebagai satu pasukan. Sekali lagi kita nak lihat team work dan team spirit yang sebenar walaupun dah cuba berikan peluang kepada semua pemain bermain malam ini,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Dalam aksi tersebut, Ahmad Aldefeery membuka jaringan Kuwait pada minit ke-21 sebelum penyerang naturalisasi terbaharu Harimau Malaya, Guilherme de Paula menyamakan kedudukan berselang tujuh minit kemudian.

Bagaimanapun, gawang Harimau Malaya bocor tiga kali dalam tempoh 28 minit pada babak kedua apabila Kuwait memperoleh gol menerusi jaringan Fahad Alhajeri, Shahab Alkhaldi dan Fahad Al-Alabraim.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Cheng Hoe mengakui terdapat jurang besar persembahan anak-anak buahnya pada aksi babak pertama dan kedua selepas beliau membuat sembilan pertukaran bagi menilai kemampuan setiap pemain.

“Barisan jurulatih akan menilai semula kelemahan pasukan. Kita masih ada masa lagi untuk memperbaikinya dan tingkatkan prestasi untuk beraksi pada tahap kemampuan sebenar,” ujarnya.