Bersatu saingan baharu Warisan di Sabah

A
A
A

AKHIRNYA, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara rasmi mengumumkan akan bertapak di Sabah. Setelah puas menepis dan menafikan, Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lalu menamatkan segala spekulasi dengan pengumuman itu yang sedikit sebanyak tidaklah mengejutkan ramai pihak dan sudah dijangka.

Sejak dari awal lagi, kemasukan Bersatu ke Sabah bolehlah diumpamakan seperti sesuatu yang tertunda. Ini adalah kerana, berbanding Sarawak, kemasukan ke Sabah memberikan pulangan politik yang lebih besar kepada Bersatu, baik dalam jangka pendek mahupun jangka panjang.

Persoalannya, apakah kemasukan Bersatu ini benar-benar menguatkan kepimpinan kerajaan negeri yang ketika ini dipimpin oleh Parti Warisan sepertimana yang didakwa Dr Mahathir. Setakat ini, kemasukan Bersatu sudah tentu akan membuka ruang kepada bekas-bekas ahli UMNO yang keluar parti bernaung di bawah kepimpinan Bersatu Sabah.

Ia sekali gus memberikan Bersatu beberapa kerusi tambahan di Parlimen dan DUN tanpa perlu bersusah payah. Namun, apakah mereka ini boleh diterima dan mampu bekerjasama dengan pimpinan Warisan sebagai sebuah pakatan bakal menjadi perhatian semua selepas ini.

Yang meninggalkan UMNO sudah tentu melihat Bersatu sebagai platform terbaik untuk melakukan ‘kemunculan semula’ dalam politik Sabah. Bagi mereka, Bersatu mampu menggantikan UMNO atas beberapa perkara.

Pertama, penguasaan Bersatu di peringkat pusat mampu mengupayakan pergerakan dan aktiviti politik mereka di peringkat negeri terutamanya dari sudut jentera dan kewangan, sepertimana yang dinikmati ketika berada dalam UMNO tanpa perlu menunggu bantuan kerajaan negeri.

Kedua, Warisan dilihat masih belum mampu menarik sokongan rakyat Sabah terutamanya Melayu-Bumiputera Islam yang ketika PRU14 lalu, undi mereka seimbang antara BN (45%) dan Warisan (46%).

Ini memberikan semacam persepsi terhadap kemampuan Warisan untuk menjadi sebuah parti tempatan yang mampu menggantikan UMNO yang begitu dominan dengan politik orang Melayu-Bumiputera Islam di Sabah sepanjang lebih dua dekad.

Artikel Berkaitan:

Kemasukan Bersatu akan memberikan saingan kepada Parti Warisan dalam meraih sokongan orang Melayu-Bumiputera Islam dan seterusnya mengganggu momentum parti itu dalam mengukuhkan kedudukannya dalam politik Sabah.

Dalam penulisan lalu, ada disebutkan bagaimana Warisan masih gagal memikat kelompok Bumiputera Bukan Melayu-Islam (KDM). Malah ketika PRU14 lalu, KDM masih kuat menyokong BN (BN menerima 45% undi KDM berbanding Warisan (32%).

Dengan polemik pengiktirafan dan status anak negeri baru-baru ini mendapat reaksi keras terutamanya daripada KDM, populariti Warisan dijangka terus merudum dalam kalangan komuniti itu.

Malah, dalam kalangan orang Melayu-Bumiputera Islam juga Warisan masih belum mampu meningkatkan popularitinya walaupun selepas hampir sembilan bulan membentuk kerajaan di Sabah.

Walaupun Warisan nampaknya akur dengan keputusan Bersatu untuk bertapak di Sabah, parti itu tidak seharusnya berasa selesa dengan perkembangan yang ada. Perpindahan beramai-ramai ahli UMNO ke dalam Bersatu bakal memperkuatkan parti itu di akar umbi.

Secara mudah, kalau betul itu berlaku, barangkali Bersatu akan mempunyai jentera dan ahli yang lebih kuat, besar dan tersusun berbanding Warisan kerana mereka mewarisi apa yang sudah wujud ketika dalam UMNO dahulu.

Di sinilah cabaran sebenar buat Datuk Seri Shafie Apdal dan Parti Warisan dalam memimpin politik Sabah, terutamanya mengimbangi tekanan dari pusat dan mengurus kekuatan baharu dalam PH Sabah. Semoga Warisan tidak menerima nasib yang serupa dengan Parti Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS) suatu ketika dahulu.

* Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)