Lapan ahli keluarga Zainol Fadzi positif Covid-19

Zainol Fadzi turut berkongsi perkembangan beliau di Facebook rasminya pada Isnin.
Zainol Fadzi turut berkongsi perkembangan beliau di Facebook rasminya pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Lapan ahli keluarga termasuk isteri Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin disahkan positif Covid-19.

Ketika dihubungi Sinar Harian, Zainol Fadzi berkata, ahli keluarganya yang disahkan positif Covid-19 adalah isteri, 52, lima anak perempuannya berusia 29 hingga 22 tahun, menantu lelaki berusia 29 tahun dan cucu perempuannya berusia 3 tahun.

Beliau sendiri bagaimanapun tidak dijangkiti virus berkenaan selepas keputusan ujian calitan pada Sabtu lalu menunjukkan negatif Covid-19.

Zainol Fadzi berkata, kesemua mereka tidak menunjukkan gejala yang serius dan kini menjalani kuarantin di kediamannya di Kampung Attaduri, Langkap di Teluk Intan sehingga 30 Mei ini.

"Mereka kuarantin di rumah dengan pemantauan Pejabat Kesihatan Daerah Teluk Intan kerana tiada simptom yang serius.

"Kecuali anak sulung saya yang mengalami demam dan dimasukkan ke Hospital Teluk Intan pada 19 Mei lalu. Dia kini stabil dan telah dibenarkan keluar wad pada Ahad lepas," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik berkata, meskipun disahkan negatif Covid-19, beliau tetap menjalani proses kuarantin atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah berjaga-jaga.

"Saya sudahpun selesai menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19, tetapi saya tetap ambil keputusan untuk kuarantin di rumah berasingan sehingga 30 Mei nanti," katanya.

Artikel Berkaitan: