Bekas pengurus MARDI mengaku tidak salah pecah amanah RM14,250

Tertuduh mengaku tidak bersalah melakukan pecah amanah RM14,250 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Selasa.
Tertuduh mengaku tidak bersalah melakukan pecah amanah RM14,250 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Seorang bekas Pengurus Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan kesalahan pecah amanah membabitkan RM14,250, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Saiful Nizam, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pengurus dana ketika itu secara tidak jujur melakukan pecah amanah dengan tidak menyerahkan wang pembayaran sewa kiosk bagi bulan Januari hingga September 2019 berserta deposit kepada Bahagian Kewangan MARDI Kuala Terengganu sebanyak RM14,250.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Atikah Aziz di hadapan Hakim Dazuki Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu mahkamah mengarahkan tertuduh wajib melaporkan diri di pejabat SPRM negeri pada setiap 1 hari bulan setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 23 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam.

Artikel Berkaitan: