Dharma dilantik Pengarah Teknikal Hoki Indonesia

Muhammad Dharma dilantik pengarah Teknikal Skuad Hoki Kebangsaan Indonesia dengan kontrak hingga Disember 2025.
Muhammad Dharma dilantik pengarah Teknikal Skuad Hoki Kebangsaan Indonesia dengan kontrak hingga Disember 2025.
A
A
A

BEKAS ketua jurulatih pasukan hoki wanita negara Muhammad Dharma Raj Abdullah dilantik sebagai pengarah teknikal pasukan hoki kebangsaan Indonesia dengan kontrak hingga Disember 2025.

Perkembangan itu disahkan Muhammad Dharma sendiri selepas pertemuan bersama Federasi Hoki Indonesia pada Isnin, sekali gus menyaksikan beliau akan melepaskan jawatan Pengarah Teknikal Hoki Wilayah Jawa Barat yang disandangnya sejak 10 bulan lepas.

Muhammad Dharma, 51, yang memiliki pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan terutama sewaktu membimbing skuad wanita kebangsaan, akan memulakan tugas baharu beliau itu pada 1 Jun.

Katanya, antara tugas utama terawal beliau ialah mengumpulkan barisan pemain hoki padang dan hoki dalam dewan terbaik dari seluruh Indonesia bagi membentuk sebuah pasukan mantap yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.

“Ketika ini, tidak kira sama ada pemain hoki padang, dalam dewan ataupun pemain naturalisasi di Belanda sekalipun saya tidak kisah, saya mahukan pasukan terbaik untuk membaiki kedudukan dalam ranking dunia,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Muhammad Dharma berkata, dua pertandingan antarabangsa iaitu Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2021 dijadualkan berlangsung di Thailand pada November dan saingan Piala Persekutuan Hoki Asia (AHF) di Indonesia pada Disember, menjadi medan terawal menguji keberkesanan perancangan beliau itu.

Pasukan hoki lelaki Indonesia kini di ranking ke-53 dunia sementara pasukan wanita di tempat ke-36.

Muhammad Dharma turut diberikan tanggungjawab membentuk sebuah pasukan projek dibarisi pemain awal usia dalam misi menyediakan sebuah pasukan yang mampu memberi cabaran di peringkat global menjelang 2032.

Artikel Berkaitan:

“Sebahagian besar pasukan akan diisi pemain bawah 12 tahun dan beberapa pemain berumur 13, 14 dan 15 tahun dalam perancangan jangka panjang 10 tahun ini. Kami akan memiliki pasukan yang baik pada 2032,” tambah beliau.

Muhammad Dharma antara jurulatih hoki kebangsaan yang kontraknya bersama Konfederasi Hoki Malaysia tamat pada Disember 2019 sebelum memutuskan tidak memohon semula jawatan tersebut dan seterusnya membawa haluan ke Indonesia.

Antara kejayaan diraih Muhammad Dharma bersama skuad Malaysian Tigress ialah merangkul pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selain mencipta sejarah muncul naib juara Pusingan Kedua Liga Hoki Wanita Dunia dan menduduki tempat kelima pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

“Saya ambil risiko besar sebenarnya apabila tinggalkan Malaysia dan pada saat itu, semua orang ketawakan saya atas keputusan dibuat. Kini saya mula buktikan sesuatu,” katanya. - Bernama