X

Kindly register in order to view this article
!

Rentas negeri, daerah punca 90 individu dijangkiti Covid-19

Gambar kecil: Dr Nor Azimi Yunus
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 22 individu yang melakukan rentas negeri dengan pelbagai alasan ke Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu telah menyebabkan 66 orang positif Covid-19 di dua daerah itu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, aktiviti rentas negeri dan daerah oleh lapan individu di Kemaman juga menjadi faktor kepada 24 orang disahkan positif Covid-19 di daerah itu.

"Kisah pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) banyak kali kita dengar sama ada dilakukan secara diam atau terang. Kisah ini akhirnya terbongkar apabila ramai ahli keluarga positif dan kes naik mendadak di satu lokaliti.

"Orang larang rentas negeri atau daerah untuk beraya kita buat juga (walaupun alasan pelbagai). Marah sangat bila larang rentas negeri, akhirnya balik dari zon merah senyap-senyap akhirnya satu keluarga positif," katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook beliau malam tadi.

Beliau bagaimanapun mengakui ramai juga individu yang melakukan rentas negeri membuat penilaian risiko di klinik kesihatan berhampiran dan kuarantin kendiri menyebabkan jangkitan berlaku setakat ahli keluarga sahaja bukan melibatkan orang ramai.

Dalam hantaran itu, Dr Nor Azimi turut menegur sikap masyarakat yang melanggar SOP dengan mengadakan ziarah hari raya, majlis berbuka puasa dan tadarus serta berkumpul beramai-ramai di tempat awam dan sesak termasuk di pasaraya.

“Terbaharu, sebuah pasaraya baharu saja ditutup 14 hari kerana 17 pekerjanya disahkan positif. Mereka bertebaran di beberapa daerah, pasti beribu-ribu orang masuk ke pasaraya itu masa nak raya baru-baru ini. Bayangkan.

“Kita pakaikan gelang suruh duduk rumah, bukan merayau rayau beri risiko kepada orang lain. Orang suruh ketat SOP kita langgar, serba serbi salah serba serbi tidak kena. Orang lain semua salah, diri sendiri tidak pernah salah.

“Pelanggaran demi pelanggaran berlaku. Hasilnya kita nampak sekarang, kes naik berlipat kali, kematian berkali ganda. Walaupun pahit kena akui hakikat kita turut sama menyumbang kepada kenaikan kes meningkat ini,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Nor Azimi berharap semua lapisan masyarakat mematuhi SOP dan hadkan pergerakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula hari ini kerana jangkitan Covid-19 tidak mengenal siapa.

“Kali ini patuh SOP mesti ketat, bukan suku suku separuh. Longgar atau ketat kita yang tentukan, bukan orang lain kerana itu namanya kawalan kendiri,” katanya.

Pada Isnin, Terengganu merekodkan pertambahan 263 kes baharu Covid-19 dan dua kes kematian menjadikan 1,775 kes Covid-19 aktif dengan jumlah keseluruhan sebanyak 7,230 kes.

Sementara itu, 1,763 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa manakala 12 kes menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) manakala empat daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!