LRT bertembung: Keluarga dengar jeritan mangsa dalam telefon

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut. - Foto Bernama
Gambar kecil: Kamarozaman Jamaludin
Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut. - Foto Bernama Gambar kecil: Kamarozaman Jamaludin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Salah seorang ahli keluarga mangsa kemalangan tren Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dikejutkan dengan suara tangisan dan jeritan anaknya yang menghubunginya pada malam Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.28 malam itu, mangsa, Nur Fashilah Al Jiilah, 25, sempat menghubungi bapanya, Kamarozaman Jamaludin, 55 memaklumkan kejadian itu.

Kamarozaman berkata, semasa menerima panggilan daripada Nur Fashilah kira-kira jam 8.28 malam, dia dapat merasakan sesuatu tidak diingini berlaku membabitkan anak sulungnya itu.

"Anak saya memaklumkan tren dinaikinya terbabit dalam kemalangan dan pada waktu itu saya hanya mampu berdoa serta berpesan supaya tenangkan diri dan banyakkan beristighfar.

"Malah, lebih sayu apabila saya sendiri dapat mendengar jeritan dan tangisan mangsa-mangsa lain yang terbabit dalam insiden berkenaan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di perkarangan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada awal pagi Selasa.

Menurutnya, ketika kejadian, anaknya itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Jalan Ampang ke rumah mereka di Klang.

"Perbualan anak juga terganggu dan dia kerap ulangi perkara sama, mungkin sebab trauma.

"Sekarang dia sedang dirawat, kakinya tidak boleh bergerak, saya sendiri tidak pasti keadaan sebenarnya kerana dia tidak banyak bercakap," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Kamarozaman berkata, dia dan keluarga bersyukur kerana Nur Fashilah terselamat dalam kemalangan itu dan menganggap apa yang berlaku sebagai ketentuan Ilahi.

"Gambar dan video yang tular itu menunjukkan ada darah yang mengalir, tetapi anak saya selamat," katanya.

Dalam kejadian pada jam 8.45 malam Isnin, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya cedera parah akibat pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya yang berlaku di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru melibatkan satu tren yang membawa penumpang serta sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.

Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut.