25 rumah musnah di Kampung Tanjung Aru

Kebakaran membabitkan 25 rumah musnah dalam kejadian di perkampungan atas air Kampung Tanjung Aru, Kota Kinabalu.
Kebakaran membabitkan 25 rumah musnah dalam kejadian di perkampungan atas air Kampung Tanjung Aru, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Dianggarkan sebanyak 25 rumah di kawasan perkampungan atas air, Kampung Tanjung Aru, di sini musnah dalam kebakaran pada tengah malam Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam itu, api dipercayai bermula dari sebuah rumah di kawasan perkampungan berkenaan sebelum merebak ke rumah lain.

Beberapa penduduk cuba memadam kebakaran menggunakan baldi berisi air namun gagal apabila api marak dan merebak dengan pantas disebabkan struktur rumah berasaskan kayu serta faktor angin.

Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jemros Olin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.01 pagi.

"Susulan laporan itu, seramai 32 anggota bersama lima jentera dikerah ke lokasi kejadian dan sebaik tiba api didapati sedang marak.

"Operasi memadam kebakaran segera dilakukan dan api berjaya dikawal 30 minit kemudian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Jemros, berdasarkan maklumat awal pihaknya berjaya menyelamatkan 986 rumah daripada terbakar.

"Sebanyak 25 rumah telah musnah dan pasukan bomba berjaya menyelamat 986 buah rumah lagi di kawasan perkampungan atas air berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan laluan yang sempit untuk ke lokasi dengan kebanyakkan jambatan kayu yang menghubungkan laluan antara rumah ke rumah musnah terbakar turut menyukarkan anggota bomba untuk masuk ke dalam bagi memadam kebakaran.

"Kita juga mendapati tekanan air agak rendah dan memerlukan jentera lori tangki untuk memadam api," katanya.

Jemros berkata, laporan awal mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba.

Operasi pemadaman kebakaran turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).