X

Kindly register in order to view this article
!

Insiden LRT: Arahan PM mesti dipandang serius

Wan Saiful Wan Jan
A
A

SHAH ALAM - Arahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melakukan siasatan penuh untuk mengenalpasti punca kemalangan membabitkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) mesti dipandang serius semua pihak.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pengumuman segera Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong bahawa satu jawatankuasa siasatan akan ditubuhkan adalah langkah yang tepat.

Menurutnya, tugas memastikan keselamatan penumpang adalah satu tanggungjawab yang amat penting dan sudah pasti segala langkah perlu akan dilaksanakan bagi memastikan punca kemalangan dapat dikenal pasti.

"Yang paling penting, perlu ada jaminan bahawa kemalangan sebegini tidak berulang. Sementara siasatan dibuat, saya harap kita tidak menimbulkan sebarang spekulasi.

"Tumpuan kita mestilah untuk memastikan semua mangsa diberi rawatan sebaiknya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Wan Saiful juga turut bersimpati dan mengucapkan takziah kepada semua mangsa yang terlibat dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 9.25 malam pada Isnin itu.

Dalam kejadian berkenaan dua buah tren di LRT Laluan Kelana Jaya dilaporkan bertembung mengakibatkan beberapa penumpang mengalami kecederaan.

Prasarana menerusi kenyataan pada malam kejadian memaklumkan bahawa kemalangan tersebut melibatkan tren bernombor 40 dan 81.

Berikutan itu, Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Pengangkutan dan Prasarana untuk melakukan siasatan penuh bagi mengenalpasti punca kemalangan dan tindakan tegas harus diambil dengan segera.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!