Prasarana diarah siasat, kemuka laporan terperinci

Kementerian Kewangan mengarahkan Syarikat Prasarana Nasional Berhad, untuk segera menyiasat kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen Kampung Baru, malam Isnin.
Gambar kecil: Tengku Zafrul
Kementerian Kewangan mengarahkan Syarikat Prasarana Nasional Berhad, untuk segera menyiasat kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen Kampung Baru, malam Isnin. Gambar kecil: Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan mengarahkan Syarikat Prasarana Nasional Berhad, sebuah syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan untuk segera menyiasat kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen Kampung Baru, malam Isnin.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, syarikat itu juga perlu mengemukakan laporan terperinci mengenai punca kejadian dan langkah-langkah yang perlu diambil bagi memastikan insiden sama tidak berulang pada masa hadapan.

Katanya, beliau sudahpun berhubung dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, bagi tindakan susulan untuk mengenalpasti punca kemalangan terbabit.

“Saya amat terkejut dan dukacita mendengar berita mengenai kemalangan yang melibatkan tren LRT berhampiran stesen Kampung Baru malam tadi.

“Terima kasih kepada pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus dalam kerja-kerja membantu dan menyelamatkan mangsa kemalangan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan kesemua mangsa diberi rawatan menyeluruh dan mendoakan agar mereka semua akan segera pulih.

Projek LRT pertama di ibu negara itu memulakan operasinya pada Disember 1996 dengan Fasa 1 menghubungkan Ampang dan Sultan Ismail. Dikenali sebagai STAR LRT, perkhidmatan itu turut ditawarkan bagi kawasan Sri Petaling.

Kedua-duanya kini dinamakan semula sebagai Laluan Ampang dan Laluan Sri Petaling.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Lembah Klang juga mempunyai satu lagi perkhidmatan LRT untuk kawasan Petaling Jaya yang dahulunya dikenali sebagai PUTRA LRT, iaitu Laluan Kelana Jaya.

LRT di Lembah Klang diusulkan sejak 1980-an apabila Kajian Pengangkutan Pelan Induk Kuala Lumpur mendapati ibu kota memerlukan sistem rel bersepadu untuk membaiki infrastruktur pengangkutannya.