X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas Setiausaha Sulit Tun Rahah meninggal dunia

Idris Shaari
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Sulit kepada Allahyarhamah Tun Rahah, Datuk Idris Shaari Mat Aris, 79 dilaporkan meninggal dunia pada malam Isnin disebabkan Covid-19.

Anaknya, Hairmanshah Idris Shaari, 42, berkata, bapanya meninggal dunia sekitar jam 8.40 malam, selepas enam hari dirawat di Hospital Sungai Buloh.

"Bapa saya dibawa ke Hospital Sungai Buloh sebab Covid-19 sejak Rabu lalu dan tidak pasti jangkitan itu diterima daripada siapa.

"Arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang pagi ini," katanya ringkas menerusi aplikasi Whatsapp.

Sebelum itu, perkhabaran duka itu dikongsikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Facebooknya.

"Dukacita dimaklumkan bahawa bekas Setiausaha Sulit kepada Allahyarhamah Tun Rahah, Datuk Idris Shaari Mat Aris baharu sahaja kembali ke rahmatullah.

"Arwah juga pernah berkhidmat sebagai pengawal peribadi Allahyarham Tun Abdul Razak satu ketika dahulu.

"Takziah kepada ahli-ahli keluarga. Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah," menurut perkongsian itu.

Sebelum berkhidmat dengan Tun Rahah, Idris Shaari adalah pengawal peribadi Allahyarham Tun Abdul Razak dan memulakan khidmatnya pada 1 Mei 1965, ketika Najib baru berusia 12 tahun.

Selepas Tun Abdul Razak meninggal dunia pada 14 Jan 1976, Idris Shaari dilantik sebagai setiausaha sulit kepada Tun Rahah dan bertanggungjawab dalam urusan keluarga itu semenjak itu.

Selain itu, Allahyarham juga merupakan bekas Pengerusi Masjid Kampung Baru.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!