X

Kindly register in order to view this article
!

Jumlah pengunjung ke pusat tumpuan awam pada hujung minggu menurun

Acryl Sani
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mendapati trend rakyat Malaysia berkunjung ke lokasi tumpuan awam di seluruh negara pada hujung minggu menurun sekitar 40 hingga 60 peratus.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau dimaklumkan bahawa pengurangan tersebut berlaku berikutan masyarakat memberi sokongan dan kerjasama dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini.

"Sikap masyarakat yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) harus dipuji. Mereka memberi kerjasama kepada barisan hadapan dalam usaha membendung penularan Covid 19," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Acryl Sani berkata, penguatkuasaan dalam membendung penularan Covid-19 tidak akan berjaya sekiranya masyarakat masih mengambil ringan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Saya berharap masyarakat lebih responsif atau memberikan kerjasama yang baik dan positif untuk bersama-sama membantu pihak berkuasa dan agensi kerajaan berkaitan. Sasaran kita adalah mendidik," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, terdapat segelintir masyarakat masih bersikap mementingkan diri dengan berada di luar rumah semata-mata untuk menghilangkan bosan termasuk pergi ke kawasan pusat perniagaan tanpa tujuan.

"Sebagai contoh, apabila saya keluar melihat sendiri ke kawasan perniagaan, masih terdapat individu keluar rumah seperti tiada apa yang berlaku, seolah-olah Covid-19 ini sudah dihapuskan.

"Apabila ditanya oleh pasukan pematuhan, mereka memberikan alasan keluar untuk membeli benda-benda yang tidak begitu penting seperti makanan segera, air mineral dan gula-gula untuk anak di rumah. Seolah-olah benda itu adalah sangat diperlukan," katanya.

Acryl Sani berkata, beliau sedar peruntukan undang-undang sedia ada tidak membenarkan polis mengambil tindakan ke atas mereka, namun sekiranya tiada kerjasama daripada masyarakat sendiri, sukar untuk menghapuskan Covid-19 di negara ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!