Misteri penyakit kulat hitam di India

Seorang doktor merawat pesakit Covid-19 yang turut menghidap penyakit kulat hitam di sebuah hospital di Jabalpur, India pada 20 Mei lalu. -Foto AFP
Seorang doktor merawat pesakit Covid-19 yang turut menghidap penyakit kulat hitam di sebuah hospital di Jabalpur, India pada 20 Mei lalu. -Foto AFP
A
A
A

SEORANG pesakit Covid-19, Parvesh Dubey meninggal dunia dalam tempoh seminggu selepas dijangkiti dengan penyakit kulat hitam semasa gelombang kedua Covid-19 yang melanda India baru-baru ini.

Dubey, 33, pernah dirawat kerana dijangkiti Covid-19 di negeri Madhya Pradesh sebelum doktor-doktor memindahkannya ke sebuah hospital lain selepas kulat tersebut dikesan berada di dalam badannya.

"Doktor-doktor kemudian melakukan pembedahan pada hidung dan rahangnya. Salah satu matanya telah rosak dan doktor-doktor menyatakan mereka berusaha untuk menyelamatkan satu lagi matanya," kata seorang saudaranya kepada AFP tetapi tidak mahu namanya didedahkan kepada AFP.

Ia merupakan salah seorang daripada ribuan penduduk di negara itu didapati menghidap penyakit kulat hitam dalam tubuh mereka berikutan penggunaan bahan steroid berlebihan yang digunakan untuk merawat berjuta-juta pesakit Covid-19.

Ia dikenali dengan nama saintifik sebagai mukormikosis sehingga kadangkala doktor-doktor terpaksa membuang mata, hidung dan rahang pesakit-pesakit Covid-19 bagi mengelakkan kulat tersebut merebak ke bahagian otak.

Penyakit itu juga amat jarang berlaku tetapi lebih 7,200 orang di India dilaporkan menghidap penyakit tersebut dan 219 orang kehilangan nyawa akibatnya.

Pertambahan kes penyakit itu turut dikaitkan dengan penggunaan gula yang berlebihan dalam badan.

India mempunyai bilangan pesakit diabetes antara yang tertinggi di dunia.

Artikel Berkaitan:

Ia dilaporkan berlaku dalam kalangan pesakit Covid-19 yang menggunakan ventilator di unit rawatan rapi di hospital-hospital kerana ruang udaranya terdedah pada kelembapan.

Bagaimana kulat hitam itu boleh membiak di dalam badan manusia?

Pada kebiasaannya kulat hitam ditemui pada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan yang rosak. -Foto Getty Images
Pada kebiasaannya kulat hitam ditemui pada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan yang rosak. -Foto Getty Images

Penyakit itu disebabkan oleh spora kulat iaitu serbuk halus yang dihasilkan oleh bakteria dan tumbuhan tidak berbunga yang ditemui pada tanah dan bahan-bahan organik sebelum tersebar di udara dan manusia kemudian menghidu udara yang mempunyai spora tersebut.

Ia kemudian memasuki badan manusia dan membiak di sekitar hidung dan mata dan jika tidak dihentikan, kulat tersebut akan merebak ke bahagian otak sekali gus membawa maut.

Orang ramai boleh menghidap penyakit kulat hitam dengan menghidu spora kulat dan ia boleh tersebar di hospital-hospital dan rumah melalui udara yang lembap atau tangki oksigen yang mengandungi air kotor.

Berikutan Covid-19, satu fenomena dikenali sebagai 'ribut cytokine' iaitu apabila sistem imun manusia dikeluarkan secara berlebihan yang mampu merosakkan organ-organ manusia.

Justeru, doktor-doktor menggunakan steroid untuk mengurangkan tindak balas imun.

Sekurang-kurangnya sembilan buah negeri di India telah mengisytiharkan penyakit kulat itu sebagai satu epidemik atau wabak manakala bandar raya New Delhi, Mumbai, Ahmedabad dan Bangalore telah membuka wad khas untuk merawat penyakit tersebut.

Media India melaporkan ratusan orang meninggal dunia akibat penyakit tersebut baru-baru ini.

Sebelum Covid-19 melanda India, para penghidap HIV atau pesakit transplan yang berisiko akan menghidap penyakit kulat hitam.

Namun, berlaku peningkatan penyakit kulat hitam itu yang disebabkan penggunaan bahan steroid secara berlebihan bagi merawat pesakit Covid-19.

"Orang ramai sudah menggunakan (steroid) secara berlebihan," kata seorang pakar, Profesor K. Srinath Reddy dari Yayasan Kesihatan Awam lepada AFP.

Seorang aktivis kesihatan, Amulya Nidhi berkata, kerajaan gagal untuk menyediakan peralatan yang mencukupi seperti ubat-ubatan untuk merawat Covid-19 seperti remdesivir dan plasma.

Katanya, kerajaan juga gagal untuk menyediakan ubat-ubatan yang mencukupi bagi merawat penyakit kulat hitam.

"Kerajaan sepatutnya bertindak (awal) apabila mengetahui kes pertama kulat hitam. Orang ramai tidak sepatutnya merayu untuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan," katanya seperti dilaporkan oleh AFP. - Agensi