RM280 juta diperlukan bantu rakyat Palestin

Rakyat Palestin kini berdepan dengan kesukaran untuk mengakses keperluan penting seperti makanan, air bersih, tempat perlindungan dan pendidikan.
Rakyat Palestin kini berdepan dengan kesukaran untuk mengakses keperluan penting seperti makanan, air bersih, tempat perlindungan dan pendidikan.
A
A
A

[INFOGRAFIK] Selepas gencatan senjata diumumkan pada Jumaat lalu, penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan rejim Israel dilaporkan telah kembali semula ke kediaman masing-masing.

Bagaimanapun, tiada apa yang tinggal untuk mereka kerana lebih 1,500 rumah musnah dalam serangan rejim haram berkenaan yang dilakukan pada 10 Mei lepas.

Kini, penduduk di Palestin berdepan dengan kesukaran untuk mengakses keperluan penting seperti makanan, air bersih, tempat perlindungan dan pendidikan.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), sebanyak AS$29.3 juta (RM122) juta diperlukan untuk membantu penduduk Palestin mendapatkan semula keperluan berkenaan.

Jelas pertubuhan itu, sebanyak AS$21.6 juta (RM90) diperlukan bagi membantu 449,000 penduduk, termasuk 225,000 kanak-kanak.

Katanya, bantuan tambahan sebanyak AS$7.7 juta (RM32 juta) juga diperlukan untuk memberi respon segera berhubung sebarang keperluan dalam tempoh tiga bulan di Gaza, Tebing Barat dan Timur Baitulmaqdis.

Katanya, keseluruhan bantuan tersebut akan memberi manfaat kepada 2.2 juta penduduk Palestin yang mana 1 juta daripadanya adalah kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sebuah lagi agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) menjelaskan, pihaknya memerlukan sebanyak AS$38 juta (RM157 juta) untuk membantu penduduk Gaza dan Tebing Barat yang terjejas.

Justeru, katanya, mereka telah melancarkan satu tabung khas (Flash Appeal) untuk mendapatkan dana bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan seperti makanan, bukan makanan, kecemasan, sokongan kesihatan dan sebagainya.

Tambahnya, bantuan kemanusiaan tersebut akan disalurkan kepada penduduk dan pelarian Palestin yang terjejas akibat serangan rejim Israel itu.

Susulan itu, satu cadangan bajet telah dikeluarkan oleh UNRWA untuk menjelaskan jumlah sebenar yang diperlukan mengikut keutamaan.

Dalam pada itu, terdapat juga bantuan disalurkan kepada rakyat Palestin oleh beberapa negara dan badan bukan kerajaan (NGO) yang bersimpati dengan nasib rakyat negara itu.

Mereka pantas menghulurkan bantuan sebaik sahaja rejim Israel menyerang negara tersebut tanpa henti sehingga mengakibatkan kematian rakyat dan kemusnahan tempat tinggal.

Menurut PBB, kira-kira 40,000 penduduk Palestin terpaksa melarikan diri manakala 2,500 lagi kehilangan tempat tinggal.

Malah, serangan rejim Isreal itu juga telah meragut sehingga 236 nyawa serta mengakibatkan 6,278 kecederaan rakyat Paletin.