Waspada dengan bahan kimia

No Image Caption
A
A
A

BAHAN kimia adalah bahan yang digunakan di dalam atau didapati oleh proses kimia. Ia boleh menjadi satu unsur, sebatian atau campuran kedua-duanya.

Di Malaysia, insiden keracunan bahan kimia toksik di Sungai Kim-Kim, Johor Bahru telah menjadi antara episod pencemaran kimia terbesar negara. Kejadian itu diakibatkan oleh pembuangan haram sisa kimia seperti akrilonitril, akrolein, benzena, hidrogen klorida, toluena, xilena, etilbenzena dan D-limonena secara besar-besaran oleh kilang di sepanjang Sungai Kim Kim.

Pada Januari 2021, sebanyak tujuh kes pencemaran direkodkan di Selangor membabitkan Sungai Chinchang, Sungai Gong dan Sungai Semenyih. Pada Februari pula, sebanyak 19 tong mengandungi bahan kimia ditemui di tepi Sungai Langat berhampiran Taman Sri Reko, Kajang dengan satu tong berisi 200 liter bahan kimia mengalami tumpahan.

Terkini, tumpahan bahan kimia methyl mathacrylate sebanyak 500 mililiter daripada sebuah kilang plastik di Senawang dilaporkan berlaku akibat kerosakan injap tangki simpanan bersaiz 25,000 liter. Bahan itu kemudiannya mengalir ke longkang awam sejauh tiga kilometer sehingga menyebabkan penduduk di empat taman perumahan berhampiran mengalami simptom pedih mata, pening dan muntah.

Pengeluaran bahan kimia dunia direkodkan meningkat lebih 50 kali ganda dalam tempoh 50 tahun. Pertumbuhan pesat industri telah meningkatkan penggunaan bahan kimia sama ada dari segi kuantiti atau jenis bahan digunakan.

Bahan kimia digunakan secara meluas kerana mendatangkan pelbagai faedah kepada manusia tetapi sesetengah bahan kimia boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan dan kesihatan.

Maka, langkah keselamatan harus diberi perhatian dan keutamaan kerana sebarang tumpahan atau kebocoran adalah berbahaya kerana boleh menyebabkan kebakaran dan kemalangan, selain mengeluarkan asap toksik.

Apabila seseorang terdedah kepada bahan kimia, terdapat banyak kesan kesihatan yang mungkin berlaku, bahkan kematian. Ia bergantung kepada beberapa faktor iaitu sifat semula jadi bahan kimia sama ada bersifat karsinogenik atau mutagenik, dos atau jumlah bahan kimia, tempoh pendedahan dan kekerapan pendedahan.

Artikel Berkaitan:

Peringkat

Kitaran hayat bahan kimia mempunyai enam peringkat iaitu pembuatan, import, pengangkutan, penyimpanan, penggunaan dan pengendalian serta pelupusan.

Oleh sebab pelepasan kimia boleh berlaku di mana-mana peringkat kitaran hayatnya, tadbir urus bahan kimia bersepadu, menyeluruh dan komprehensif sangat diperlukan.

Pengetahuan tentang potensi bahan kimia yang terlibat adalah penting dalam tindak balas kecemasan dan rawatan awal serta dalam menentukan penyiasatan diagnostik. Kesan buruk beberapa gas toksik mewajarkan pelaksanaan kaedah yang lebih baik untuk menilai bahan kimia terlibat kerana pendedahan kepada pelbagai bahan kimia secara serentak mungkin akan menyebabkan ketoksikan tambahan atau sinergistik.

Ringkasnya, pengendalian bahan kimia secara sistematik dan lestari sangat perlu bagi mengelak orang di sekeliling serta pengendali tidak menanggung risiko secara berkekalan. Ini kerana kesan pendedahan manusia kepada bahan kimia dan bahan berbahaya yang lain boleh menyebabkan gejala seperti kerengsaan kulit kepada penyakit jangka panjang seperti kanser.

Menyedari bahaya yang wujud, sangat penting mewujudkan budaya keselamatan dalam mengendali, mengangkut dan menyimpan bahan-bahan kimia. Selain itu, jarak zon penampan minimum antara kilang-kilang kimia dan kawasan kediaman perlu ditetapkan dalam jarak antara 1000 meter hingga 1,500 meter bagi mengelak sebarang kemudaratan serius jika berlaku sebarang tumpahan atau kebocoran sisa kimia.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan Belia dan Komuniti Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia