Kutipan fasa pertama Aid4Palestin cecah lebih RM16 juta

Palestin
Palestin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Fasa pertama Kempen Aid4Palestine berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM16.8 juta iaitu melebihi sasaran awal sebanyak RM1 juta, kata Pengerusi Sekretariat Aid4Palestin, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Beliau berkata, jumlah kutipan yang diperoleh itu merangkumi sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat awam.

"Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sumbangan terbesar yang diterima ialah daripada Pas Relief iaitu sebanyak RM 12.1 juta," kata Muhammad Khalil yang juga Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas itu dalam kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, beliau berkata, Sekretariat Aid4Palestin turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh pihak yang membantu untuk menjayakan misi fasa pertama khususnya para penyumbang.

Menurutnya, pihaknya memberikan jaminan bahawa 100 peratus sumbangan akan disalurkan kepada rakyat Palestin selain mengharapkan usaha itu dapat diteruskan dengan lebih hebat melalui sumbangan fasa kedua berakhir 30 Syawal ini.

"Kejayaan fasa pertama ini membuktikan bahawa perjuangan Palestin ini telah menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia. Ini juga dapat dilihat melalui sumbangan yang telah diterima daripada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang agama, bangsa mahupun kedudukan.

"Lebih menyentuh hati, usaha ini turut disokong sepenuhnya oleh rakyat dalam kalangan pekebun, penoreh, peniaga jalanan dan lain-lain yang mengerahkan segala kemampuan untuk menjayakan usaha ini," katanya.

Tambah beliau, Sekretariat Aid4Palestin turut memaklumkan bahawa sumbangan fasa pertama mula disalurkan melalui Duta Aid4Palestin yang dilantik iaitu Nadir Al-Nuri dan Abu Ayesh An-Najjar.

Artikel Berkaitan:

"Sekretariat #Aid4Palestin akan sedaya upaya memastikan segala proses penyaluran sumbangan dilaksanakan dengan baik dan dilaporkan secara dekat dari semasa ke semasa dalam saluran media rasmi #Aid4Palestin.

"Akhirnya, kami ingin menyeru kepada seluruh rakyat untuk terus menyalurkan bantuan bagi membantu perjuangan Palestin khususnya bagi menyokong usaha fasa kedua #Aid4Palestin sedang berlangsung.

"Teruskan juga mengikuti perkembangan terkini mengenai segala isu yang berlaku di bumi Palestin supaya semangat pembebasan Palestin tidak pudar. Doa kami semoga segala usaha ini diberkati dan dirahmati ALLAH sentiasa," katanya.