Presiden Brazil tidak serik

Bolsonaro (kanan) menunggang motosikal ketika mengetuai perarakan di Rio de Janeiro pada Ahad. - Foto: Agensi
Bolsonaro (kanan) menunggang motosikal ketika mengetuai perarakan di Rio de Janeiro pada Ahad. - Foto: Agensi
A
A
A

BRASILIA - Presiden Brazil, Jair Bolsonaro yang tidak lekang dengan kontroversi masih tidak serik apabila beliau mengetuai perarakan motosikal di sepanjang Rio de Janeiro pada Ahad.

Gelagat pemimpin berhaluan kanan itu yang masih memandang rendah ancaman pandemik Covid-19 dengan tidak memakai pelitup muka turut disiarkan secara langsung menerusi akaun rasmi beliau di Facebook.

Perarakan selama sejam setengah yang bermula di Taman Olimpik Rio yang turut melalui pantai ikonik, Ipanema dan Copacabana itu kononnya bertujuan untuk meraih semula sokongan rakyat selepas popularitinya merudum sejak memegang tampuk pemerintahan pada Januari 2019.

Penyokong beliau turut berhimpun di sepanjang laluan sambil bersorak dan mengibarkan bendera kebangsaan.

Pada Jumaat lalu, Bolsonaro dikenakan kompaun kerana mengadakan perhimpunan di Maranhao tanpa perlindungan kebersihan walaupun acara sosial membabitkan lebih 100 individu adalah dilarang di bawah peraturan bagi membendung penularan Covid-19.

Difahamkan, pejabat presiden diberi tempoh dua minggu untuk mengemukakan rayuan selepas jumlah denda ditetapkan.

Ketika ini, suruhanjaya Senat turut menyiasat kesilapan pengurusan pandemik yang dikendalikan pentadbiran Bolsonaro. - AFP

Artikel Berkaitan: