115,000 kakitangan perubatan maut akibat Covid-19

Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP
Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP
A
A
A

GENEVA - Pandemik Covid-19 telah meragut sekurang-kurangnya 115,000 nyawa kakitangan perubatan yang bertugas di barisan hadapan.

Data itu diberikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin yang turut menggesa semua negara meningkatkan kempen vaksinasi secara dramatik.

Ketua agensi di bawah PBB itu, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus juga memuji pengorbanan kakitangan perubatan di seluruh dunia yang bertungkus-lumus memerangi pandemik tersebut.

“Selama hampir 18 bulan, golongan yang bertugas di barisan hadapan sanggup memperjudikan nyawa untuk menyelamatkan orang lain. Ramai daripada mereka turut dijangkiti sepanjang tempoh itu,” ujarnya ketika ucapan pembukaan perhimpunan tahunan WHO di Geneva.

Dr Tedros juga menzahirkan kebimbangan terhadap ketidaksamaan pengagihan vaksin yang boleh memburukkan lagi pandemik itu yang telah merekodkan 167.2 juta kes jangkitan dan 3.5 juta kematian.

“Jumlah dos vaksin yang diberikan setakat ini mencukupi untuk menampung kesemua kakitangan perubatan dan warga emas jika ia diedarkan secara adil,” katanya sambil menambah lebih 75 peratus vaksin Covid-19 dimonopoli oleh 10 negara.

Beliau mengulangi gesaan kepada negara yang mempunyai bekalan vaksin yang berlebihan supaya berkongsi dengan negara yang memerlukan.

“Saya merayu kepada negara terbabit supaya menyokong kempen imunisasi untuk memastikan 10 peratus daripada populasi di setiap negara mendapat suntikan vaksin menjelang September depan,” jelasnya lagi yang berharap ia dapat diperluaskan kepada 30 peratus pada akhir tahun ini. - AFP

Artikel Berkaitan: