Dera anak: Suami, isteri ditahan

A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan sepasang suami dan isteri bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, penahanan kira-kira jam 1 petang semalam itu dilakukan selepas lebih sejam menerima laporan berhubung kejadian.

"Bertindak daripada laporan berkenaan, kita menahan bapa tiri mangsa berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pemandu bas dan ibunya juga warga negara Indonesia yang berumur 38 tahun di sebuah rumah di Pangsapuri Desa Melayu, di sini.

"Soal siasat lanjut yang dijalankan mereka mengaku melakukan penderaan terhadap kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun terbabit sejak dua tahun kebelakangan ini.

"Kita turut berjaya menyelamatkan mangsa yang sedang menjalani pemeriksaan dan rawatan di Hospital Sultananah Aminah (HSA)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa dipantau Pegawai Jabatan Sosial HSA dan Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah dimaklumkan kejadian berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

"Lelaki itu bekas anggota Sukarelawan Polis Balai Polis Puchong Jaya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan ditamatkan perkhidmatan pada 2013, manakala isterinya pula adalah peniaga makanan online

"Tiada rekod kesalahan lampau ke atas suspek yang ditahan. Pihak polis turut merampas seutas wayar mikrofon, satu batang rotan serta satu penyangkut baju yang dipercayai digunakan dalam penderaan itu," katanya.

Shahurinain berkata, hasil siasatan juga mendapati mangsa tiada dokumen diri sejak lahir kerana tidak didaftarkan kelahirannya serta tidak bersekolah dan hasil perkahwinan pasangan terbabit mempunyai dua anak

"Anak yang pertama perempuan berumur 3 tahun dan kedua lelaki berumur setahun. Kedua-dua kanak-kanak itu diserahkan kepada ibu suspek lelaki. Kedua-dua suspek mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

"Pihak Polis mohon kerjasama dari orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penderaan ini boleh menghubungi terus hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2218999 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Maslinah Md Tan di talian 012-7236064," katanya.