TH giat laksana persediaan bakal haji Malaysia sejak tahun lalu

Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) sedang giat membuat persediaan bagi memastikan kelancaran urusan bakal jemaah haji Malaysia pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, persiapan awal operasi haji telah diperkukuhkan sejak tahun lalu dengan mengambil kira amalan norma baharu.

“Ini termasuklah di stesen berlepas semasa bakal haji melapor diri. Di Tanah Suci pula, persiapan telah dilakukan di Makkah dan Madinah terutama dari segi penginapan, pengangkutan dan penerbangan serta sajian makan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Zulkifli berkata, TH turut mengadakan beberapa siri mesyuarat dan bengkel secara berkala dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi persediaan kesihatan serta keselamatan jemaah haji di Tanah Suci nanti.

Menurutnya, kursus asas haji selama 13 minggu secara dalam talian juga berjaya dianjurkan dengan lancar di seluruh negara.

“Ini bertujuan bagi melengkapkan bakal jemaah haji dengan ilmu pengetahuan dan maklumat terkini serta gambaran suasana semasa di Tanah Suci,” katanya.

Tambah beliau, bermula Mac lepas, TH turut menyarankan bakal jemaah haji Malaysia untuk mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera atau laman sesawang www.vaksincovid.gov.my.

“Ini bagi memenuhi prasyarat wajib yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi iaitu pengambilan vaksin Covid-19 sama ada Pfizer, Astrazeneca, Johnson dan Johnson atau Moderna sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Bakal jemaah haji juga diminta bersedia untuk mengambil suntikan wajib vaksin meningococcal,” kata beliau.

Zulkifli turut menasihatkan bakal jemaah haji untuk bersabar dan membuat persiapan sebaiknya dari segi ilmu, fizikal dan spiritual selain mendaftar sebagai penerima vaksin agar pelaksanaan ibadah ibadah haji di Tanah Suci dapat berjalan lancar.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan Malaysia dan TH masih menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berkaitan urusan haji dan jumlah jemaah haji yang dibenarkan pada tahun ini.

“Kerajaan akur dengan apa jua keputusan berkenaan dan akan mengumumkan keputusannya kepada bakal jemaah haji sejurus selepas mendapat kenyataan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi.

“Marilah sama-sama kita berdoa agar urusan bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci dipermudahkan ALLAH SWT,” katanya.