Pengekalan sistem kiraan mata undang pelbagai reaksi

Soniia Cheah
Soniia Cheah
A
A
A

FORMAT kiraan 21 mata menerusi tiga set terbaik (3x21) dikekalkan setelah mendapat undian tertinggi, mengundang pelbagai reaksi daripada pihak yang terlibat dalam sukan badminton.

Ada yang mengalu-alukan langkah berkenaan, tetapi ada juga yang mahukan sistem kiraan 11 mata menerusi lima set terbaik (5x11) dilaksanakan bagi menggantikan format sedia ada itu.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann lega apabila format sistem kiraan 21 mata dikekalkan.

“Saya menerima keputusan undian itu, jadi pemain tidak akan terjejas kerana tiada perubahan dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Aaron Chia, pemain beregu lelaki negara yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik juga memihak kepada sistem sedia ada.

“Saya rasa sistem pemarkahan sekarang adalah terbaik buat masa ini dan saya gembira dengan keputusan itu,” katanya.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan, percaya akan ada cadangan sama untuk mengubah sistem pemarkahan kepada format 5x11 satu hari nanti tetapi beliau yakin pasukannya bersedia dan akan cuba menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan pada masa akan datang.

Jurulatih pemain badminton para Cheah Like Hou, Datuk Rashid Sidek bagaimanapun tidak melihat sebarang masalah dalam mengubah format pemarkahan, tetapi tidak bagi pemain para kerana beliau merasakan mereka lebih selesa dengan sistem pemarkahan pada masa ini.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berpendapat bahawa Persekutuan Badminton Dunia (BWF) perlu melakukan percubaan dengan format kiraan 11 mata terlebih dahulu sebelum ia dapat dilaksanakan pada masa hadapan.

Sementara itu, pemain beregu campuran Goh Soon Huat yang berpasangan dengan Shevon Lai Jemie, lebih menyukai format permarkahan 5x11 kerana tempoh perlawanan akan lebih pendek dan kurang memerlukan kekuatan fizikal.

Pemain perseorangan wanita negara Soniia Cheah pula berpendapat sistem permarkahan 5x11 akan meningkatkan keterujaan dan intensiti permainan bagaimanapun, setiap format mempunyai kebaikan dan keburukannya bergantung kepada bagaimana pemain dapat membiasakan diri dengan perubahan itu.

Pemain perseorangan lelaki negara Liew Daren secara peribadi ingin melihat perubahan dilakukan kerana merasakan format 5x11 lebih sesuai dengan dirinya.

Pada mesyuarat agung tahunan (AGM) BWF ke-82 yang dilakukan secara maya Sabtu lepas, cadangan untuk mengubah sistem permarkahan daripada 3x21 yang digunakan sekarang, kepada 5x11 seperti yang diaspirasikan presidennya Poul-Erik Hoyer Larsen, gagal apabila hanya 66.31 peratus menyokong manakala 33.69 peratus menentang daripada 282 undi.

Cadangan itu diusulkan oleh Persatuan Badminton Indonesia dan Persatuan Badminton Maldives baru-baru ini, dan disokong oleh Badminton Asia, Persatuan Badminton Korea dan Persatuan Badminton Taiwan, gagal untuk dilaksanakan kerana kekurangan majoriti dua pertiga diperlukan.

Cadangan sama pernah diusulkan untuk mengubah sistem pemarkahan pada 2014 dan 2018 tetapi gagal mendapat sokongan daripada ahli BWF.