Polis nafi sekumpulan individu buat demonstrasi

Video yang tular di laman sosial mendakwa sekumpulan individu berkumpul di kawasan penutupan Jalan Jerangau-Jabor, Kuantan pada Isnin. Gambar kecil: Mohamad Noor Yusof Ali
Video yang tular di laman sosial mendakwa sekumpulan individu berkumpul di kawasan penutupan Jalan Jerangau-Jabor, Kuantan pada Isnin. Gambar kecil: Mohamad Noor Yusof Ali
A
A
A

KUANTAN - Polis menafikan dakwaan berlaku demonstrasi atau mogok membabitkan sekumpulan individu di lokasi penutupan laluan Jalan Jerangau-Jabor iaitu sempadan di daerah ini seperti video tular di laman sosial pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, hasil pemeriksaan pihaknya di lokasi berkenaan, tidak berlaku sebarang kejadian yang mengganggu ketenteraman awam.

Beliau berkata, semakan mendapati individu tersebut merupakan pekerja dari Terengganu yang bekerja di Kuantan datang ke lokasi untuk mengambil gambar bagi memaklumkan kepada majikan mereka bahawa jalan berkenaan ditutup.

"Pada masa sama, terdapat pengguna laluan itu yang tidak tahu berhubung penutupan laluan dan selebihnya datang bertanya dan sekadar untuk mengambil gambar," katanya melalui satu kenyataan pada Isnin.

Mohamad Noor berkata, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seluruh daerah Kuantan, Sekatan Jalan Raya (SJR) diadakan di semua laluan masuk ke daerah ini bagi mengawal aktiviti keluar masuk.

"Selain itu, empat laluan alternatif iaitu Jalan Jerangau-Jabor, Jalan Jabor Lama-Alor Batu, Jalan Felda Neram-Bukit Kuantan dan Jambatan Tanjung Selangor-Cherok Paloh ditutup sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata, tindakan bantuan penandaan jalan telah dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kemaman melalui JKR Kuantan.

"Pemakluman penutupan jalan turut dibuat kepada Bilik Gerakan Polis Daerah Kemaman, Pusat Kawalan Polis Kontinjen Terengganu dan Kelantan," katanya.

Artikel Berkaitan: