Beberapa lokaliti di Labuan, Pahang, Sabah dikenakan PKPD

Beberapa lokaliti di Labuan, Pahang dan Sabah dikenakan PKPD bermula Rabu ini. (Gambar hiasan)
Beberapa lokaliti di Labuan, Pahang dan Sabah dikenakan PKPD bermula Rabu ini. (Gambar hiasan)
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Beberapa lokaliti di tiga negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di kawasan berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan Wilayah Persekutuan Labuan, Pahang dan Sabah.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan peningkatan kes Covid-19 di lima sub-zon Wilayah Persekutuan Labuan.

"Berdasarkan kepada situasi semasa peningkatan mendadak kes Covid-19 di WP Labuan adalah susulan daripada peningkatan kes di semua negeri di Malaysia dan kesemua lima sub-zon kini berstatus jingga dan merah.

"KKM turut mengesahkan kadar kebolehjangkitan bagi Wilayah Persekutuan Labuan pada 23 Mei lalu adalah 2.55 iaitu melebihi 2.00 yang berkemungkinan berlaku jangkitan dengan skala lebih besar," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, pelaksanaan PKPD di lima sub-zon itu bermula dari 26 Mei ini sehingga 24 Jun depan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD juga akan dilaksanakan di tiga mukim dalam daerah Lipis, Pahang melibatkan Mukim Kuala Lipis, Mukim Penjom dan Mukim Budu.

"Sehingga kini, Mukim Budu mencatatkan 51 kes positif, Mukim Kuala Lipis 24 dan Mukim Penjom 57 menjadikan keseluruhan kes dikesan daripada ketiga-tiga mukim ini adalah sebanyak 132 kes dalam tempoh 24 hari dari 1 Mei hingga Isnin daripada keseluruhan 938 yang disaring.

Artikel Berkaitan:

"PKPD juga dikenakan di dua kokaliti di Putatan, Sabah membabitkan Taman Seri Ketiau dan Taman Desa Seri Ketiau," katanya.

Tambah Ismail Sabri, penguatkuasaan PKPD juga akan diadakan di dua lagi lokaliti di Sabah iaitu Ladang Felda Global Ventures (FGV) Kalabakan Selatan, Kalabakan dan Kampung Sungai Imam, Tawau.

Katanya, pelaksanaan PKPD di semua lokaliti di Pahang dan Sabah itu bermula 26 Mei ini hingga 8 Jun depan.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, pelaksanaan PKPD di Felda Kahang Timur, Kluang, Johor yang dijadualkan tamat pada Selasa (25 Mei) pula dilanjutkan sehingga 8 Jun depan.

Katanya, PKPD di dua lokaliti masing-masing di Felda Umas, Kalabakan, Sabah dan Kampung Bako Hilir, Kuching, Sarawak pula masing-masing ditamatkan pada Selasa seperti dijadualkan.