Pengendali lapangan terbang, pelabuhan dibenar optimum tenaga kerja

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengendali lapangan terbang dan pelabuhan dibenar mengoptimumkan tenaga kerja untuk memastikan aktiviti import dan eksport tidak terjejas, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Memandangkan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengehadkan tenaga kerja sektor swasta kepada 60 peratus dalam usaha membendung penularan Covid-19, Ka Siong berkata, penghantaran barangan melalui lapangan terbang dan pelabuhan di seluruh negara ke destinasi dikehendaki tidak boleh dipengaruhi atau terhalang untuk memastikan bekalan mencukupi.

“Justeru, saya mengarahkan pihak berkuasa dan pengendali lapangan terbang serta pelabuhan untuk mengoptimumkan petugas operasi kepada keperluan tertentu sahaja bagi memastikan aktiviti import dan eksport tidak terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 Mei mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun dalam usaha mengekang penularan jangkitan wabak Covid-19.

Pada 22 Mei, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penambahan sekatan untuk mengetatkan SOP pelaksanaan PKP 3.0, antaranya membenarkan 40 peratus tenaga kerja di sektor swasta dan 80 peratus di sektor awam untuk bekerja dari rumah (BDR).

Ka Siong berkata, Kementerian Pengangkutan akan terus memantau situasi dengan teliti untuk memastikan pergerakan barang dan kargo tidak terjejas dan mengurangkan kejutan terhadap pasaran secara umum.

“Semua pekerja lapangan terbang dan pelabuhan diingatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk memakai peralatan perlindungan diri (PPE), menjaga penjarakan fizikal dan mengimbas kod QR MySejahtera di tempat diperlukan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: