X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan pertingkat penguatkuasaan di sempadan negara: Ismail Sabri

Ismail Sabri
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan mempertingkatkan kawalan keselamatan melibatkan semua aspek termasuk penguatkuasaan di sempadan negara dalam usaha menghadapi fenomena penularan baharu pandemik Covid-19 yang kian membimbangkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi mengelakkan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Katanya, dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, semua pasukan keselamatan memperkemas operasi bersepadu bagi memperketat kawalan sempadan daripada dicerobohi oleh anasir-anasir asing.

"Sememangnya kawalan sempadan akan menjadi antara fokus kerajaan melalui transformasi pengurusan dan tadbir urus termasuk menggunakan peralatan berteknologi tinggi dan berbeza mengikut kesesuaian bentuk muka bumi di sempadan.

"Ini termasuk penambahan pos-pos kawalan, pagar sempadan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV), radar dan dron berkapasiti tinggi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, ketika ini semua pasukan keselamatan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Martim), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Rela giat melakukan rondaan serta kawalan di seluruh negara.

Menurutnya, tujuan utama usaha itu dilakukan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terjamin.

"Langkah proaktif dibuat berasaskan kepada fakta dan maklumat terkini, malah sejak 18 Mei lalu, seramai 9,629 anggota keselamatan ditugaskan untuk melakukan rondaan, penguatkuasaan dan sekatan jalan raya di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, seramai 5,460 adalah anggota PDRM manakala selebihnya iaitu 4,169 terdiri daripada ATM, Rela, APM dan lain-lain agensi," katanya.

Beliau menjelaskan, tindakan keselamatan dan kawalan dilakukan menerusi Sekatan Jalan Raya (SJR) dan OP Benteng bagi kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Tambah Ismail Sabri, sebelum ini, kerajaan membuat keputusan menyekat kemasukan sementara pengembara dari India, Sri Lanka, Nepal, Bangladesh dan Pakistan kerana bimbang jangkitan varian baharu dari negara itu menular ke negara ini dan tindakan itu dibuat dengan tegas melibatkan semua pihak.

Kata beliau, kerajaan juga memperketatkan kemasukan rakyat Malaysia dari negara-negara tersebut di pintu antarabangsa dengan menambah jumlah kuarantin daripada 14 hari kepada 21 hari.

Menurutnya, semua 'frontliners' termasuk petugas keselamatan telah mengorbankan sepenuh masa mereka demi menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

"Justeru, saya menyeru semua pihak marilah kita terus membantu meringankan tugas 'frontliners' dengan memberi kerjasama terhadap pematuhan prosdur operasi standard (SOP) dan meningkatkan kawalan kendiri," katanya.

"Saya yakin kita akan menang dalam perjuangan ini kerana kita pernah berjaya. Sekarang masanya untuk kita berhenti bertelagah dan fokus kepada perjuangan melawan pandemik Covid-19," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!