Vaksin Covid-19: Polis mungkin panggil Ketua Menteri Pulau Pinang

Sahabudin
Sahabudin
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang berkemungkinan memanggil Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk merekodkan keterangan beliau berhubung tawaran sumbangan vaksin Covid-19 jenis Sinovac.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, sehingga kini, tujuh individu termasuk individu yang menulis surat tawaran vaksin tersebut telah dipanggil dan direkod keterangan bagi membantu siasatan.

"Siasatan masih dijalankan dan kemungkinan kita memanggil Ketua Menteri atau pegawai di Pejabat Ketua Menteri untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan berhubung tawaran oleh seorang lelaki berhubung pemberian sumbangan vaksin Covid-19.

"Ketika diambil keterangan, lelaki yang ditahan itu mengaku dia menulis dan menandatangani surat tersebut selain mengaku dia merupakan wakil kepada syarikat tersebut bagaimanapun, tiada bukti sahih kerana tiada surat lantikan daripada syarikat selain mengakui lantikan dirinya itu dibuat secara lisan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sahabudin berkata, selain itu, polis sedang mendapatkan maklumat untuk mengesahkan samada syarikat tersebut benar membuat tawaran itu atau sebaliknya.

"Siasatan akan mengambil masa sedikit kerana syarikat tersebut berpangkalan di Hong Kong. Banyak perkara yang perlu kita perhalusi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 511 Kanun Keseksaan," katanya.

Selasa lalu, kerajaan negeri meminta Kementerian Kesihatan memberi kelulusan menerima sumbangan dua juta dos vaksin Covid-19 dari syarikat swasta, selepas permohonan pertama mereka ditolak.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, mengesahkan derma dua juta dos vaksin Covid-19 oleh syarikat berpangkalan di Hong Kong itu cuma tawaran palsu.