Najib, Shafee gagal peroleh kebenaran singkir lantikan Gopal Sri Ram

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah gagal memperoleh kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman untuk menyingkirkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes dihadapi mereka.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas (RKKK), Datuk Azizah Nawawi dalam satu prosiding dalam kamarnya yang dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Shafee yang hadir bagi pihak Najib serta peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Shafee.

Ketika membuat keputusan itu, Azizah berkata, permohonan yang dibuat oleh kedua-dua pemohon adalah sama dengan permohonan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi Jenayah.

Azizah berkata kedua-dua mahkamah itu mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu.

Beliau berkata Mahkamah itu hanya mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah certiori manakala Mahkamah Tinggi Jenayah boleh mengeluarkan perintah supaya pihak pendakwaan menunjukkan surat lantikan Gopal Sri Ram sebagai pendakwa raya kepada pemohon.

Sehubungan itu Azizah berkata adalah lebih sesuai permohonan itu didengar di Mahkamah Tinggi Jenayah kerana kes mereka turut di dengar di mahkamah yang sama.

Dalam permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman difailkan pada Disember lalu, Najib dan Muhammad Shafee memohon perisytiharan untuk membatalkan keputusan Peguam Negara/Pendakwa Raya yang tidak mengemukakan surat pelantikan Sri Ram mengikut Seksyen 376(3) Kanun Acara Jenayah.

Mereka turut memohon untuk membatalkan atau menolak pelantikan Sri Ram berikutan surat pelantikan tidak sah dan memohon perisytiharan bahawa terdapat konflik kepentingan berhubung pelantikan itu.

Artikel Berkaitan:

Turut dipohon, perintah untuk melarang Sri Ram daripada terus mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes jenayah dihadapi Najib membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes mengemukakan pernyataan tidak benar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta pengubahan wang haram dihadapi Muhammad Shafee.