Mesyuarat khas ADUN dan ahli Parlimen di Johor pada Khamis

Onn Hafiz (dua dari kanan) menerima sumbangan yang disampaikan Mohd Noorazam (dua dari kiri) untuk Tabung Makmur Palestin di Kota Iskandar pada Isnin.
Onn Hafiz (dua dari kanan) menerima sumbangan yang disampaikan Mohd Noorazam (dua dari kiri) untuk Tabung Makmur Palestin di Kota Iskandar pada Isnin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Mesyuarat khas bersama ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung peningkatan kes Covid-19 di negeri ini akan diadakan pada Khamis.

Ia susulan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini supaya semua ahli Parlimen dan ADUN di negeri ini mengadakan perbincangan berhubung kebajikan rakyat Johor susulan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Exco Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perincian mengenai kaedah mesyuarat berkenaan sama ada dijalankan secara bersemuka atau maya akan diputuskan dalam masa terdekat.

Beliau yang juga ADUN Layang-layang berkata, isu belia dan pemain sektor pelancongan akan diketengahkan berikutan golongan itu berdepan dengan kekangan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

"Kita tengok PKP 3.0 ini seperti 'mini lockdown' kerana peraturan baharu diperkenalkan terutama tempoh waktu perniagaan sehingga jam 8 malam. Ramai yang mengeluh dan mempersoalkan kenapa tidak dilaksanakan sahaja 'lockdown'.

"'Lockdown' ini sekiranya dilakukan dengan kaedah yang tepat seperti moratorium dan bantuan yang bersesuaian, ia mampu melandaikan angka kes Covid-19," katanya selepas menerima replika cek bernilai RM 20,000 dan RM10,000 untuk Tabung Makmur Palestin daripada Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Kumpulan Austin High di Kota Iskandar di sini pada Isnin.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Datuk Mohd Noorazam Osman dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Makmur Johor, Mohd Hairi Md Sah.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, sebanyak RM1 juta disasarkan kerajaan negeri bagi kutipan Tabung Makmur Palestin yang dilancarkan pada Rabu lalu.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini sebanyak RM100,000 sudah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan badan korporat dan individu.

"Apabila tabung ini mencapai sasaran kutipan, wang tersebut akan diserahkan kepada Kementerian Luar untuk diberikan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Palestin yang diiktiraf," katanya.