Nota suara, video tular berkait isu Abu Sayyaf tidak benar: ESSCom

Ahmad Fuad
Ahmad Fuad
A
A
A

TAWAU - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menafikan dakwaan berlaku kejadian kumpulan Abu Sayyaf menangkap penduduk kampung dan memotong anggota badan di dalam hutan di Sabah seperti nota suara yang tular menerusi aplikasi WhatsApp.

Komander ESSCom, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, nota suara meminta penduduk berhati-hati yang tular bersama sebuah video berdurasi 1.03 minit menunjukkan seorang lelaki diserang dengan parang dan ditetak serta kemudian ditembak bertalu-talu di kawasan semak itu bukan berlaku di Sabah sebaliknya di Filipina.

"Hentikan penyebaran berita palsu ini, jangan percaya audio (nota suara) yang disebarkan kerana ia palsu dan rakaman video itu sebenarnya berlaku di negara jiran," katanya pada Isnin.

Ahmad Fuad berkata, polis dalam masa sama sedang menyiasat penyebar maklumat palsu berkenaan kerana menimbulkan kegusaran awam.

Sebelum itu, nota suara berdurasi 23 saat yang tular pada Isnin turut mendakwa tindakan kumpulan Abu Sayyaf itu sebagai mahu membalas dendam.

Pada 17 Mei lalu, pasukan keselamatan menembak mati lima anggota kumpulan Abu Sayyaf di kawasan setinggan di Taman Sri Arjuna, Beaufort. - Bernama

ARTIKEL BERKAIATAN: Polis tembak mati lima anggota Abu Sayyaf

Artikel Berkaitan: