Mesej PM perjelas kekeliruan, PKP 3.0 satu pertimbangan realistik

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada Program Bicara Khas Cabaran Pandemik COVID-19 yang disiarkan dari Angkasapuri malam Ahad. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada Program Bicara Khas Cabaran Pandemik COVID-19 yang disiarkan dari Angkasapuri malam Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkukuh lagi mesej bahawa kerajaan Persekutuan bertanggungjawab terhadap struktur kawalan dan arahan dalam pengurusan krisis Covid-19 di negara ini.

Penganalisis Pengurusan Krisis, Pete Nicoll berkata, tindakan itu diharapkan dapat memberi penjelasan berhubung kekeliruan yang dialami kalangan rakyat, ketika menyampaikan mesej supaya tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan membantu keadaan dengan melakukan sekatan pergerakan kendiri.

“Kita menerima mesej mengenai kejelasan, penerangan ringkas berkaitan siapa, kenapa, apa serta bagaimana pengurusan krisis itu.

“Perdana menteri juga memberikan kenyataan positif mengenai pemulihan ekonomi dan mengakhirinya dengan kerendahan hati... memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang wujud sebelum ini,” katanya dalam program ‘Mid-Day Update’ yang disiarkan melalui Bernama TV pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas Bicara Khas Cabaran Pandemik Covid-19 Eksklusif Bersama Perdana Menteri yang disiarkan di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama TV pada Ahad.

Nicoll berkata, semua pihak perlu memahami perbezaan kecil dan ketidakkukuhan di antara langkah krisis ekonomi dengan langkah kesihatan awam, memandangkan tiada satu pun kerajaan di dunia boleh menjangkakan tempoh pandemik ini selain kesan negatif atau ketara ke atas ekonomi negara dan global.

Beliau berkata, tindakan untuk mengekalkan sebahagian besar ekonomi dibuka, dijana dan berfungsi merupakan satu pertimbangan realistik apabila digabungkan dengan langkah bersifat pengekangan lain yang dilakukan untuk menangani krisis kesihatan awam.

“Pandangan bahawa pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya akan memburukkan lagi kesan ekonomi dan struktur sosial Malaysia bagi tempoh lebih panjang juga adalah sesuatu yang boleh dipercayai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Ekonomi Malaysia tunjuk peningkatan positif

Beliau berkata, isu kesihatan mental menjadi satu lagi perkara yang perlu ditangani secara serius dalam membendung pandemik yang memenatkan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Madya Baharom Abdul Hamid yang berkongsi nada yang sama juga berharap bantuan kewangan yang disediakan kerajaan akan terus disalurkan sewajarnya kepada kumpulan sasar untuk mengelakkan salah padan dalam pemberian bantuan.

“Ketika ini yang menjadikan keutamaan dalam fikiran rakyat adalah kelangsungan -- fizikal dan kesihatan mentah. Saya berharap dengan vaksinasi dipercepat, kita akan boleh mencapai keimunan kelompok secepat mungkin untuk mengurangkan kebimbangan dan meredakan kepenatan yang dialami rakyat serta kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, dari segi ekonomi, walaupun wujud kebimbangan mengenai kelangsungan, adalah sesuatu yang positif apabila mengetahui pihak industri dan syarikat turut mengambil langkah untuk membangunkan infrastruktur lebih baik menerusi penerimagunaan teknologi terkini dan pendigitalan.

Kerajaan diharapkan akan terus menyokong kumpulan atau pihak yang terjejas teruk seperti sektor pelancongan supaya apabila situasi pandemik bertambah baik, mereka yang berada dalam industri akan kembali beroperasi secara optimum. - Bernama