PKD diaktifkan pertingkat pendaftaran vaksin Covid-19

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 191 Pusat Komuniti Desa (PKD) diaktifkan bagi mempercepat dan mempertingkatkan usaha pendaftaran vaksin Covid-19 dalam kalangan penduduk di luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, sebanyak 139 buah PKD sudah dilengkapi kemudahan internet, manakala 52 lagi dalam proses pemasangan.

"Bagi 52 buah PKD yang sedang dalam proses pemasangan kemudahan internet, pendaftaran luar talian akan dilaksanakan dengan menggunakan aplikasi khas yang dibangunkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Selain itu, beliau berkata, peranan pengurus PKD turut dipertingkat serta diperluaskan.

"Bukan hanya dalam aspek pendaftaran vaksin Covid-19 sahaja tetapi dalam memberikan penerangan dan mempromosikan kebaikan pengambilan vaksin kepada masyarakat di luar bandar," kata beliau.

Tambah beliau, menerusi inisiatif pengaktifan PKD sebagai Pusat Daftar Vaksin Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berjaya mendaftarkan seramai 2,481 orang penerima vaksin Covid-19 sejak awal Mei.

"Kementerian turut menyasarkan peningkatan sehingga 30 peratus jumlah pendaftaran vaksin sedia ada serta mempercepatkan lagi proses imunisasi Covid-19 terutama masyarakat luar bandar," katanya.

Abdul Latiff berkata, kerjasama merentasi agensi amat diperlukan apatah lagi ketika ini kes positif Covid-19 menunjukkan trend peningkatan serta di tahap membimbangkan.

Artikel Berkaitan:

"Konsep 'Whole Government, Whole Society' juga dipraktikkan oleh KPLB dalam menembusi maklumat di kawasan luar bandar dan terpencil menerusi PKD serta agensi di bawah kementerian," katanya.