Kesatuan penghulu penggawa Kedah lapor polis terhadap pemilik FB

Jamani (tengah) tampil membuat laporan polis di IPD Kota Setar pada Isnin.
Jamani (tengah) tampil membuat laporan polis di IPD Kota Setar pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Satu laporan polis dibuat ke atas pemilik akaun Facebook susulan status dikeluarkan individu terbabit telah menyebabkan ramai pihak mempertikai peranan penghulu khususnya berhubung isu agihkan bantuan sekiranya Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh.

Pengerusi Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Negeri Kedah, Jamani Jamaludin berkata, status tersebut dikesan pada Sabtu lalu kira-kira jam 11.21 malam di Facebook Kedah Dihatiku.

Menurutnya, status tersebut berbunyi 'kita orang kedah nak lockdown tiada masalah tetapi masa agihan bantuan, kalau boleh jangan bagi kepada Tok Penghulu, biar fronliner yang agihkan..yang paham tu paham la noh'.

"Selepas itu ramai yang telah membuat komen menuduh penghulu agih bantuan tidak betul, penghulu kroni, penghulu agih bantuan kepada adik-beradik dan penghulu pilih bulu.

"Ada juga yang memberi komen semua keturunan Tok Penghulu yang dapat, ketua kampung sama naik dengan penghulu dan pelbagai tohmahan tanpa asas telah dibuat," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada jam 10 pagi pada Isnin.

Mengulas lanjut, Jamani yang juga Penghulu Pengkalan Kundur berkata, beliau berharap laporan itu juga akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurutnya, pihaknya juga mahu polis mengambil tindakan serta membuat siasatan lanjut kerana pernyataan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook berkenaan adalah sangat berat, tidak berasas, fitnah kepada institusi penghulu dan menjatuhkan maruah serta imej institusi penghulu negeri Kedah khususnya.

"Di setiap daerah di Kedah akan ada wakil penghulu yang tampil membuat laporan polis bagi mewakili penghulu di daerah masing-masing," ujarnya.

Artikel Berkaitan: