Polis tutup 4 laluan tikus di sempadan Kuantan

Mohamad Noor bersama Tengku Nor Asmaliza meninjau kerja-kerja penutupan laluan Jalan Jerangau - Jabor di sempadan daerah Kuantan yang dilakukan Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang pada tengah malam Ahad.
Mohamad Noor bersama Tengku Nor Asmaliza meninjau kerja-kerja penutupan laluan Jalan Jerangau - Jabor di sempadan daerah Kuantan yang dilakukan Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang pada tengah malam Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Empat laluan tikus termasuk Jalan Jerangau-Jabor di sempadan Kuantan ditutup kepada semua kenderaan bermula jam 12.01 pagi pada Isnin berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikuatkuasakan pada Isnin hingga 7 Jun depan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, langkah penutupan laluan tikus dikenal pasti bertujuan mengawal aktiviti pergerakan keluar masuk ke daerah ini.

Beliau bagaimanapun memberitahu, pengguna jalan raya boleh menggunakan lain sambil memberitahu sebanyak enam laluan di pintu masuk sempadan dibuka bagi mengawal pergerakan keluar masuk individu dan kenderaan ke daerah Kuantan.

"Bagi mereka yang berkeperluan untuk melakukan pergerakan keluar masuk boleh menggunakan laluan yang dibuka, namun perlu melalui tapisan ketat di sekatan jalan raya yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau kerja-kerja penutupan laluan Jalan Jerangau-Jabor di sempadan daerah Kuantan di sini pada awal pagi Isnin.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah.

Mohamad Noor berkata, hanya mereka atau kenderaan yang mendapat kebenaran sahaja dibenarkan melakukan pergerakan dan bagi mereka yang tiada urusan perlu berada di rumah sepanjang tempoh PKPD.

"Kita akan pastikan mereka yang melakukan pergerakan rentas daerah termasuk di sempadan Kuantan-Kemaman mempunyai dokumen lengkap termasuk surat pengesahan atau kebenaran majikan.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan maklumat PKP sebelum ini, terdapat antara 80 hingga 100 individu melakukan pergerakan di pintu sempadan Kuantan-Kemaman itu atas urusan kerja," katanya.

Tambah beliau, orang ramai perlu peka dengan setiap arahan dikeluarkan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terus berdegil dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Saya memberi amaran kepada semua pihak agar mematuhi SOP ditetapkan dan tidak melalukan aktiviti di luar rumah bagi mengelak dikenakan tindakan.

"Tindakan yang diambil ini bukan untuk menyusahkan sesiapa tetapi demi kepentingan bersama bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di daerah ini," katanya.

Sementara itu, Tengku Nor Asmaliza berkata, beliau berpuas hati dengan persiapan pihak polis dalam menghadapi penugasan dalam tempoh PKPD.

Beliau menyeru orang ramai agar lebih berdisiplin mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memastikan kes-kes jangkitan Covid-19 dapat dibendung daripada terus meningkat.

"Peningkatan kes jangkitan virus ini di Kuantan kebelakangan ini adalah disebabkan wujud pelanggaran SOP dalam kalangan masyarakat dan ia tidak sepatutnya berlaku," katanya.