150,000 suntikan vaksin Covid-19 sehari dijangka bermula Jun

Orang ramai hadir untuk mendapatkan suntikan dos pertama vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca ketika tinjauan di PPV IDCC Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
Orang ramai hadir untuk mendapatkan suntikan dos pertama vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca ketika tinjauan di PPV IDCC Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan yakin sasaran 150,000 suntikan vaksin sehari dapat dilaksanakan menjelang Jun ini apabila jumlah bekalan vaksin yang lebih tinggi akan diterima pada bulan hadapan, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim.

“Kita telah mencapai 80,000 suntikan sehari setakat minggu lepas dan dengan bekalan vaksin yang semakin banyak, kita akan membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk meningkatkan angka vaksinasi dalam tempoh sebulan ke dua bulan ini sehingga 150,000 suntikan sehari,” katanya.

Bercakap kepada media selepas melakukan lawatan di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam di sini pada Isnin bagi pemberian hari pertama vaksin Covid-19 AstraZeneca, beliau berkata, sasaran kerajaan juga masih kekal untuk mencapai imuniti kelompok sebelum Disember tahun ini.

Dalam pada itu, Ahmad Amzad berkata, kerajaan juga sedang menimbang cadangan agar pemberian dos kedua vaksin dilambatkan bagi memastikan seramai mungkin penduduk Malaysia mendapat dos pertama vaksin bagi mencapai imuniti kelompok dengan segera.

“Apa-apa pun kita kena mengikut apa yang disyorkan oleh pihak pengeluar vaksin kerana ia berkaitan dengan isu jaminan, keberkesanan dan sebagainya, pada masa sama kita juga melihat amalan yang telah dibuat oleh negara luar,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: