Bersatu bidas kenyataan Cheng Hau

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Bersatu membidas kenyataan bekas ADUN Skudai, Dr Boo Cheng Hau yang dilaporkan berkata tindakan beliau menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan tiada bezanya dengan situasi Perdana Menteri itu terhadap Tunku Abdul Rahman pada 1969.

Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Wan Saiful Wan Jan berkata, Cheng Hau perlu sedar diri kerana kedudukan beliau terlalu jauh berbanding status Dr Mahathir pada ketika itu.

"Dr Mahathir dan Almarhum Tunku Abdul Rahman adalah dua nama besar dalam politik negara. Apa pula mimpi dia untuk samakan diri sendiri dengan situasi tokoh-tokoh itu?

"Kalau ya pun nak cari glamour murah, buatlah dengan cara lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Cheng Hau sebelum ini mendesak Dr Mahathir meletak jawatan kerana memperlekeh Manifesto PH.

Katanya, dakwaan Perdana Menteri itu bahawa manifesto bukan panduan dan kitab suci menunjukkan beliau tidak berkeyakinan terhadap diri sendiri.

Kenyataan tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada pemimpin Bersatu termasuk mendesak beliau meninggalkan PH.

Bagaikan tidak mahu mengalah, Cheng Hau hari ini mempertahankan diri dengan mendakwa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan kerana Dr Mahathir pernah berbuat demikian terhadap Tunku Abdul Rahman.

Katanya apa yang dilakukan olehnya itu tiada beza dengan apa yang dilakukan Perdana Menteri itu pada 1969.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, PH meraikan kepelbagaian pandangan tetapi biarlah dia dilakukan dengan cara berdisiplin dan dalam semangat kekeluargaan.

"Bukan (dengan cara) gila publisiti hingga sanggup menjadi peruntuh keluarga," katanya.

Wan Saiful turut bertanyakan kepada Cheng Hau adakah beliau mahu menjadi tukang sabotaj PH ketika semua pihak dalam gabungan parti itu sibuk berkampung di Semenyih.

"Sekiranya Cheng Hau lebih suka menyusahkan kami yang sedang sibuk di Semenyih, lebih baik dia letak jawatan dalam DAP atau partinya sendiri buang beliau kerana nyata yang hanya tahu mengeruhkan keadaan dan bukannya membantu," tegasnya.