Guru besar di Sabah ponteng kerja disiasat

Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS)
A
A

TAWAU - Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) akan menyiasat dakwaan seorang guru besar di sebuah sekolah rendah di negeri ini yang ponteng kerja sejak sekolah dibuka awal tahun ini.

Pengarah JPNS, Mistirine Radin berkata siasatan akan dijalankan berdasarkan banyak aduan yang diterima pihaknya termasuk dari wakil rakyat di kawasan terbabit berkaitan ketidakhadiran guru besar tersebut ke sekolah.

"Jika aduan berkenaan didapati benar, jabatan akan mengambil tindakan yang tegas termasuk mengenakan tindakan tatatertib," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara Profesional bersama Pengarah JPNS bagi Zon Pantai Timur Sabah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mistirine berkata Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini perlu memantau dan menyiasat segera jika menerima aduan berkaitan guru tidak hadir bertugas ke sekolah.

Sementara itu, beliau memberi jaminan bahawa tiada guru di Sabah akan tercicir daripada kenaikan pangkat.

"Saya akan minta Pegawai PPD melihat perkara tersebut jika ada keciciran kenaikan pangkat, sekiranya guru ini layak untuk naik pangkat saya akan pastikan tiada keciciran," katanya.

Pada majlis hari ini, lebih 500 pengetua, guru besar serta penolong kanan sekolah di Tawau menghadiri Program Bicara Profesional itu bagi mendengar taklimat mengenai Sektor Pengurusan Sekolah, Pengurusan Akademik termasuk Naratif Amalan Pendidikan.- Bernama