Bendera batik Palestin eksklusif, tanda solidariti sambil menderma

Yuslinawati (kiri) bersama sepupunya, Wan Hafizul menunjukkan bendera Palestin yang telah ditempah oleh pelanggan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Salor. - Foto Bernama
Yuslinawati (kiri) bersama sepupunya, Wan Hafizul menunjukkan bendera Palestin yang telah ditempah oleh pelanggan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Salor. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Pelbagai cara diterjemah rakyat Malaysia sebagai tanda solidariti buat rakyat Palestin, tidak ketinggalan pengusaha batik yang menghasilkan bendera negara tersebut menggunakan 100 peratus kaedah serta teknik penghasilan batik eksklusif di Kelantan.

Sejak seminggu lalu, Yuslinawati Othman, 42, dari Kampung Salor, dibantu suaminya Wan Ahmad Wan Hassan, 51, serta sepupu mereka Wan Hafizul Wan Johari, 32, menyiapkan hampir 300 helai bendera Palestin.

Yuslinawati berkata, pada awalnya bendera yang dihasilkan hanya untuk dinaikkan penduduk kampung, namun selepas memuat naik hasil tangan mereka itu di laman sosial Facebook dan Instagram, ramai membuat tempahan.

“Bendera Palestin ini dihasilkan menggunakan kain kapas, sama seperti material untuk kain batik. Harga jualan bagi setiap bendera adalah berbeza mengikut saiz yang diinginkan oleh pelanggan iaitu bermula serendah RM25 untuk saiz 3x5 kaki hingga RM90 bagi bendera bersaiz paling besar iaitu 6x10 kaki.

“Bagi setiap jualan bendera, kami ambil harga modal bagi kain sahaja, selebihnya iaitu lebih kurang RM5 hingga RM10 akan dimasukkan ke dalam tabung dana untuk Palestin,” katanya yang berpengalaman mengusahakan batik lebih 25 tahun.

Tambah Yuslinawati, bendera Palestin yang dihasilkan mendapat sambutan amat baik bukan sahaja pelanggan dari dalam negara malah turut mendapat tempahan dari Brunei.

“Selain orang tempatan, kita juga dapat tempahan dari rakyat Brunei. Mereka bukan sahaja menempah bendera malahan ada yang mahu selendang bercorak Palestin.

“Walaupun kos untuk penghantaran mahal iaitu sekitar RM50 tetapi mereka sanggup untuk bayar demi membantu perjuangan rakyat Palestin mendapatkan keamanan yang sudah lama dirampas Israel,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Wan Hafizul berkata proses penghasilan setiap helai bendera bukanlah mudah kerana ia mengambil masa dua hingga tiga hari untuk disiapkan kerana perlu melalui beberapa proses yang cukup rumit.

“Untuk menyiapkan satu bendera terdapat beberapa proses perlu dilakukan seperti mencanting lilin di atas kain putih, mewarna, seterusnya mematikan warna sebelum merebusnya ke dalam air yang panas untuk melekatkan warna.

“Sekiranya cuaca panas kita boleh menyiapkan sehingga 50 helai sehari kerana kain yang kita gunakan ini senang kering,” katanya. - Bernama