Datuk Seri dalang sindiket judi mesin slot diberkas

Azmi (dua dari kanan) menunjukkan barang yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Dang Wangi di sini pada Isnin.
Azmi (dua dari kanan) menunjukkan barang yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Dang Wangi di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 19 individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang disyaki dalang sindiket judi mesin slot ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada 17 Mei lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, dalam serbuan pertama, seramai enam lelaki warga Bangladesh dan Myanmar ditahan pada jam 6.30 petang di sebuah premis di Jalan Pudu.

"Selain itu, kita turut menahan tiga lelaki yang merupakan penjaga premis itu dan merampas perlbagai peralatan seperti 16 alat kawalan perjudian, empat set komputer perjudian, dua projektor serta wang tunai RM10,213," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, susulan daripada tangkapan itu, seramai 10 individu termasuk seorang wanita berusia 17 hingga 71 tahun ditahan di sekitar Kuala Lumpur.

"Hasil operasi itu, kita berjaya memberkas dalang utama bergelar Datuk Seri berusia 55 tahun yang aktif menjalankan aktiviti perjudian sejak Januari lalu.

"Kita turut merampas wang tunai RM579,001, tiga utas jam tangan, tujuh jongkong emas dan loket serta tiga kenderaan mewah dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2.09 juta," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1), 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

"Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan 13 individu telah diarahkan untuk dituduh di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel Berkaitan:

"Empat individu lagi akan diambil tindakan dibawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959 manakala dua individu diambil tindakan dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001," katanya.