TH saran pendeposit guna perkhidmatan dalam talian THiJARI

Tabung Haji
Tabung Haji
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) menyarankan pendepositnya untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian, THiJARI sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengurangkan interaksi bersemuka di kaunter cawangan TH di seluruh negara.

Pengarah Eksekutif Operasinya, Mustakim Mohamad berkata, THiJARI merupakan perkhidmatan dalam talian yang dilancarkan pada awal tahun lepas bagi memudahkan pendeposit melakukan transaksi dan menerima perkhidmatan TH secara dalam talian seperti menyemak akaun, mencetak penyata, pindahan wang dan perkhidmatan berkaitan haji.

“Pendeposit juga boleh melakukan transaksi di mesin pengeluaran tunai, mesin deposit tunai dan perbankan Internet empat rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB Bank,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, pada masa sama, pengguna kini boleh melakukan pindahan simpanan dari mana-mana bank ke dalam akaun TH melalui FPX secara dalam talian dan masa nyata tanpa perlu hadir ke cawangan TH melalui THiJARI.

Katanya, pendeposit juga boleh membuat arahan pindahan simpanan tetap secara bulanan melalui e-Mandate FPX dengan melayari laman sesawang www.thijari.com.my atau aplikasi THiJARI untuk menggunakan perkhidmatan baharu itu secara percuma.

Pendeposit boleh menghubungi Talian Khidmat Pelanggan TH di talian 03-6207 1919 untuk sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan TH. - Bernama

Artikel Berkaitan: