PKPD di empat pulau unik lagi mencabar

Rondaan secara kerap selama 24 jam oleh PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor yang diketua Mohd Rudzuan (kiri).
Rondaan secara kerap selama 24 jam oleh PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor yang diketua Mohd Rudzuan (kiri).
A
A
A

TUMPAT - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor berdepan cabaran getir yang unik dalam rondaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat pulau di Mukim Sungai Pinang di sini berikutan kewujudan jeti kecil yang juga ‘laluan tikus’ di setiap ceruk kepulauan itu.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad berkata, penduduk di 30 gugusan pulau termasuk 1,583 penduduk di empat pulau yang dilaksanakan PKPD tersebut sememangnya menggunakan jalan sungai sebagai laluan pengangkutan utama.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan PKPD yang kali pertama melibatkan PPM melibatkan lokasi di Teluk Renjuna, Pantai Haji Nikmat, Pulau Beluru dan Pulau Suri itu unik dan mencabar berbanding PKPD lain di daratan.

Mohd Rudzuan
Mohd Rudzuan

“Hampir keseluruhan rumah yang terletak berhampiran dengan tebing sungai mempunyai jeti kecil atau laluan tikus yang digunakan penduduk bagi menjalankan aktiviti seharian termasuk menangkap ikan atau merentas ke tanah besar serta berkunjung dari satu pulau ke pulau-pulau kecil yang berhampiran.

“Kawad duri sudah dipasang di empat jeti utama di lokasi PKPD namun tidak pula terjangkau untuk memasang di keseluruhan tebing sungai, maka rondaan perlu dilakukan secara kerap sepanjang 24 jam termasuk pada waktu malam bagi menggelak pembolosan,” katanya ketika ditemui dalam rondaan bersama empat anggota di Jeti Pulau Beluru di sini pada Ahad.

Pemeriksaan oleh PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor di lokasi jeti-jeti utama yang dipasang kawad besi berhampiran rumah penduduk di Teluk Renjuna, Tumpat.
Pemeriksaan oleh PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor di lokasi jeti-jeti utama yang dipasang kawad besi berhampiran rumah penduduk di Teluk Renjuna, Tumpat.

Mohd Rudzuan berkata, bagi memastikan tidak ada penduduk yang bolos, PPM dengan kekuatan lima anggota temasuk beliau bergandingan dengan pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat mengadakan rondaan menggunakan dua bot secara bersilang.

Artikel Berkaitan:

“Kalau kami ke arah utara, bot IPD Tumpat akan ke arah selatan dan kemudian kami berpatah balik sejauh kira-kira tiga kilometer sepanjang masa.

“Setakat ini, tiada ada aktiviti menangkap ikan atau merentas ke tanah besar atau ke pulau-pulau berhampiran dan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan baik,” katanya.

Mohd Rudzuan menaiki bot PAC 740 bersama empat anggota mengadakan rondaan di lokasi PKPD di empat kepulauan di Mukim Sungai Pinang, Tumpat.
Mohd Rudzuan menaiki bot PAC 740 bersama empat anggota mengadakan rondaan di lokasi PKPD di empat kepulauan di Mukim Sungai Pinang, Tumpat.

Selain itu, beliau berkata, keadaan air pasang surut dan muara sungai yang cetek turut mencabar pasukannya dalam melaksanakan pemantauan SOP PKPD di kepulauan berkenaan.

“Pada masa sama penugasan di sempadan Malaysia-Thailand di sepanjang Sungai Golok tetap diteruskan dengan tambahan kekuatan 41 anggota dan penambahan aset dalam melancarankan kedua-dua penugasan ini,” katanya.

Sebelum ini seorang wanita berusia 26 tahun dari PKPD Bunut Susu, Pasir Mas dikesan berada di Pantai Haji Nik Mat yang dipercayai penyebab tercetusnya penularan Covid-19 di lokaliti berkenaan,

Setakat Ahad, 111 disahkan positif Covid-19 dan swab masih dijalankan bagi menghabiskan kesemua penduduk di mukim berkenaan.

Pemeriksaan juga dilakukan di kawasan sungai perhampiran rumah penduduk di empat lokasi PKPD di Mukim Sungai Pinang, Tumpat.
Pemeriksaan juga dilakukan di kawasan sungai perhampiran rumah penduduk di empat lokasi PKPD di Mukim Sungai Pinang, Tumpat.