Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang mohon semakan tarif air

Jaseni
Jaseni
A
A
A

GEORGETOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memohon semakan tarif air dalam usaha menjimatkan penggunaan air selain menangani risiko air mentah Pulau Pinang dengan berkesan dan juga bagi memastikan keselamatan bekalan air pada waktu ini dan masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan melaksanakan rundingan awam berkaitan dengan cadangan semakan semula tarif air yang dikemukakan PBAPP pada 2019.

"Semakan tarif itu dibuat berdasarkan Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) yang diluluskan oleh kerajaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut beliau berkata, tarif air domestik Pulau Pinang sedia ada untuk 35,000 liter pertama sebulan pada RM0.32 sen setiap 1,000 liter adalah yang terendah di Malaysia.

"Tarif air perniagaan untuk 500,000 liter pertama pada RM1.36/1,000 liter adalah yang ketiga terendah di Malaysia. Tarif sedia ada yang rendah menyebabkan PBAPP tidak dapat mengumpulkan dana mencukupi untuk perbelanjaan modal (CAPEX) yang dicadangkan.

"Pada tahun 2019, PBA Holdings Bhd melaporkan keuntungan operasi sebanyak RM25.15 juta. Pada tahun lalu, penggunaan domestik per kapita Pulau Pinang adalah 299 liter/kapita/hari (LKH), berbanding purata nasional 240 LKH.

"Kemungkinan besar penggunaan domestik per kapita di Pulau Pinang berkait secara langsung dengan tarif air domestik yang rendah," katanya.

Beliau berkata, purata penggunaan air di Pulau Pinang adalah 845 juta liter sehari (JLH) pada tahun lalu apabila permintaan air Pulau Pinang diunjurkan mencapai 1,696 JLH pada 2040 dan 1,884 JLH pada 2050.

"Walaupun Pulau Pinang mempunyai bekalan air yang mencukupi ketika ini, kita tidak boleh kehabisan air dalam masa terdekat. Dalam industri air, bekalan mesti sentiasa melebihi permintaan.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, PBAPP mesti terus melabur dalam pembangunan, penaiktarafan dan penyelenggaraan infrastruktur bekalan air untuk mengekalkan status quo ini pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata, oleh kerana Pulau Pinang adalah negeri yang mengalami kekurangan air, adalah penting bagi semua penduduk Pulau Pinang untuk menerapkan dan mengamalkan budaya jimat air.

"Sudah tiba masanya untuk menurunkan penggunaan air domestik secara signifikan untuk mengurangkan pelaburan tinggi dalam pembangunan infrastruktur bekalan air," katanya.

Jelasnya, Pulau Pinang terlalu bergantung kepada Sungai Muda sebagai sumber air mentah iaitu lebih 80 peratus air mentah yang diabstrak oleh PBAPP untuk operasi bekalan air harian adalah dari sungai tersebut.

"Oleh kerana perkara itu, sebarang kejadian atau perkembangan negatif di hulu (Sungai Muda dan Ulu Muda) akan secara langsung mempengaruhi bekalan air di Pulau Pinang dengan pantas.

"Selain itu, PBAPP mesti meneroka sumber air mentah kedua bagi Pulau Pinang menjelang 2050, seperti Sungai Perak.

"PBAPP mesti mempunyai dana mencukupi untuk membina Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Kerian yang dicadangkan untuk merawat air mentah dari Sungai Perak sebelum Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) yang dicadangkan dilaksana," katanya.