Uncle Mack meninggal dunia

MSN mengucapkan takziah kepada keluarga Macklin atas pemergiannya. - Foto FB MSN
MSN mengucapkan takziah kepada keluarga Macklin atas pemergiannya. - Foto FB MSN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas kem komandan dalam persediaan atlet negara ke temasya sukan utama, Macklin Amzah, meninggal dunia awal pagi Isnin.

Menurut kenyataan Majlis Sukan Negara (MSN), bekas pegawai MSN dari 1991-2014 yang cukup rapat dengan atlet sepanjang perkhidmatannya itu, menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.06 pagi di Hospital Serdang, Selangor.

“Arwah dan keluarganya dijangkiti Covid-19 sebelum Aidilfitri tetapi arwah mengalami komplikasi yang lain, manakala keluarganya telah selesai melalui proses kuarantin di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang baru-baru ini,” katanya.

Menurut MSN, Allahyarham Macklin, 74, akan dikebumikan selepas 1 tengah hari Isnin di Tanah Perkuburan Bandar Tun Hussein Onn, Cheras.

Bekas pemain hoki kebangsaan, Iman Gobinathan Abdullah dalam satu hantaran di laman Facebook menyifatkan Allahyarham Macklin sebagai seorang individu yang sangat mesra dengan atlet dan sentiasa berasa senang dan gembira ketika bergaul dengan arwah suatu ketika dahulu.

“Baris sedia, jangan bergerak. Kalau gerak, aku gigit telinga awak - this is the quote that I always looking forward during MSN national camp since 1997 to 2004 as athlete from Mr Macklin aka Mack,” katanya di laman Facebook.

Sementara itu, MSN turut mengucapkan takziah kepada keluarga Macklin atas pemergiannya.

“Seluruh warga sukan MSN mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” menurut catatan yang juga dimuat naik di laman Facebook MSN.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham Macklin pernah berkhidmat sebagai jurulatih jasmani tentera darat dan pegawai waran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum bertugas di MSN sebagai tenaga pengajar kecergasan dan kem komandan yang menyaksikannya banyak terlibat mengendalikan program waja diri dan bina negara kepada atlet kebangsaan sebelum ini. - Bernama