Sila log masuk terlebih dahulu.

Gunung berapi meletus di Congo ragut 15 nyawa

Gunung berapi Nyiragongo meletus pada Sabtu mengorbankan 15 nyawa penduduk. - Foto AFP
Gunung berapi Nyiragongo meletus pada Sabtu mengorbankan 15 nyawa penduduk. - Foto AFP
A
A
A

KINSHASA - Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh selepas gunung berapi Nyiragongo meletus pada Sabtu malam di wilayah timur laut Kivu, Republik Demokratik Congo (DRC), lapor Agensi Berita Xinhua.

Jurucakap kerajaan Patrick Muyaya berkata, kesemua mangsa maut ketika cuba menyelamatkan diri apabila gunung berapi itu memuntahkan laharnya.

Pihak berkuasa DRC belum mengeluarkan sebarang maklumat mengenai jumlah kerosakan akibat kejadian itu.

Muyaya meminta penduduk mengelak melakukan sebarang aktiviti tidak penting di kawasan berhampiran gunung berapi kerana keadaan belum selamat.

Helikopter misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Congo turut melakukan tinjauan di lokasi letusan bagi memantau keadaan.

Menurut pihak berkuasa tempatan, aliran lahar di pinggiran Goma berhenti kira-kira jam 4 pagi waktu tempatan (0300 GMT) pagi Ahad dan penduduk tempatan sudah mula pulang ke rumah masing-masing. - Bernama

Artikel Berkaitan: