X

Kindly register in order to view this article
!

Bilik gerakan Bersatu Johor dijadikan pusat pendaftaran vaksin

Rasman (kiri) pada gimik penyerahan sumbangan kepada UTM pada Isnin.
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menggerakkan bilik gerakan dan pejabat parti di peringkat negeri, bahagian dan cawangan untuk dijadikan pusat bagi membantu pendaftaran vaksin Covid-19.

Ketua Seketeriat Khas Covid-19 Bersatu Johor, Rasman Ithnin berkata, pihaknya menyokong pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang digerakkan kerajaan.

"Susulan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Ibrahim pada Khamis berkenaan situasi Covid-19 di negeri ini, Bersatu Johor membuat satu ketetapan agar semua jentera gerak kerja politik menumpukan kepada usaha tangani wabak tersebut.

"Segala kekuatan dan sumber parti akan digunakan dalam usaha memerangi Covid-19 menerusi kempen 'Johor Bersatu Perangi Covid-19'," katanya ketika menyerahkan sumbangan kepada pelajar dan kakitangan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada Isnin.

Seramai 2,687 warga UTM terdiri daripada 2,132 penuntut dan 556 individu daripada 237 keluarga terlibat dengan PKPD berkuat kuasa pada 21 Mei hingga 3 Jun.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Senator Md Nasir Hashim.

Rasman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili berkata, Bersatu Johor juga akan membantu mendaftarkan individu yang layak menerima vaksin terutama warga emas dan penduduk luar bandar di aplikasi MySejahtera.

"Satu talian hotline 013-5800016 diperkenalkan untuk membantu warga emas yang telah mendapat janji temu untuk vaksinasi tetapi mempunyai masalah pengangkutan untuk ke pusat vaksinasi.

"Mereka boleh menghubungi nombor ini melalui pesanan ringkas dan WhatsApp, di mana pihak kami akan menyediakan kenderaan secara percuma untuk membawa mereka berdasarkan janji temu," katanya.

Dalam pada itu, Rasman memberitahu talian terbabit turut boleh dihubungi individu yang terjejas pendapatan termasuk mereka yang dibuang kerja akibat Covid-19 untuk mendapatkan bantuan makanan.

"Bersatu juga akan menggerakkan kumpulan sukarelawan untuk mengagihkan bekalan makanan kepada golongan yang terjejas.

"Kita juga akan berkerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Daerah jika diperlukan dalam pengagihan bantuan ini," katanya.

Jelas beliau, sebanyak 500,000 bahan kempen dalam bentuk kain rentang, poster dan risalah bagi memupuk kesedaran rakyat berkenaan prosedur operasi standard mengelak jangkitan Covid-19 akan diedarkan ke seluruh negeri.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!