Najib cuti sakit, perbicaraan kes 1MDB ditangguh

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan pada Isnin kerana bekas perdana menteri itu cuti sakit selepas menjalani pembedahan mata, Khamis lepas.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara itu ketika prosiding bermula pada jam 10.20 pagi di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Hakim kemudian membenarkan Najib diberikan cuti sehari dan mengarahkan mahkamah bersidang pada jam 9.30 pagi, Selasa.

Sebelum ini, hakim bertanya kepada peguam, sama ada perbicaraan kes berkenaan dapat diteruskan pada Selasa dan Muhammad Shafee menjawab bahawa penglihatan Najib masih kurang jelas, malah beliau juga tidak dapat menandatangani sebarang cek.

Hakim Sequerah: Mungkin kita boleh bersidang esok (Selasa) untuk kes ini. Beri dia cuti hari ini (Isnin), esok kita boleh bersidang...Esok kita bertemu di sini seperti biasa dan jika keadaan hematoma telah pulih, maka kita boleh teruskan.

Muhammad Shafee: Beliau (Najib) mempunyai ketidakupayaan sementara dan tidak mempunyai penglihatan yang jelas, malah beliau tidak dapat menandatangani cek.

Mendengar penjelasan tersebut, hakim memaklumkan bahawa Najib boleh hanya duduk di mahkamah pada Selasa.

Perbicaraan kes di mahkamah pada Isnin sepatutnya bagi mendengar keterangan dari saksi pendakwaan ke-10 Mohd Hazem Abdul Rahman, 49, yang merupakan bekas CEO 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. - Bernama